Skip to main content

MPSP pilih Pangsapuri Ampangan projek perintis pengasingan sisa pepejal di punca kategori PPR

GIMIK sempena Majlis Pelancaran Projek Perintis Dasar Pengasingan Sisa Di Punca di PPR Ampangan dekat Seberang Jaya, petang tadi.
Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG JAYA - Pangsapuri Ampangan di sini dipilih sebagai lokasi projek perintis pengasingan sisa di punca kategori Projek Perumahan Rakyat (PPR) sulung Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Yang di-Pertua MPSP, Dato' Maimunah Mohd. Sharif memberitahu dasar itu akan dikuatkuasakan secara mandatori di bahagian Seberang Perai dan Pulau mulai 1 Jun depan.

"Dua blok PPR yang terdiri (oleh) 250 unit rumah ini di bawah MPSP, kita harap dasar Segregation at Source (pengasingan sisa di punca) boleh dilaksanakan 100 peratus di sini, kerana empat kakitangan pembersihan daripada kalangan penduduk sendiri," jelas Maimunah kepada pemberita, selepas Majlis Pelancaran Projek Perintis Dasar Pengasingan Sisa Di Punca, petang tadi.

Sebelum itu, Maimunah menyampaikan sijil pelantikan MPSP kepada Pengerusi Persatuan Penduduk Pangsa PPR Ampangan, Mohd. Asri Osman, serta melawat pusat operasi pengasingan sisa di punca di sini.

Hadir sama, tiga Ahli Majlis bagi MPSP, Micheal Tan Cheong Heng, Alias Wan Chek dan Shuhada Abdul Rahim, serta Oon Lai Kuan (Ketua Unit Pengasingan bagi Majlis Kerajaan Tempatan Kerajaan Negeri) dan Mohd. Puad Hamid (Pengarah Perkhidmatan Perbandaran MPSP).

Difahamkan, MPSP pada 10 Januari lalu telah melancarkan projek perintis serupa bagi kategori kampung, di Kampung Cangkat, seterusnya di Kampung Sanglang dekat Jawi.

Januari lalu juga, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu turut melancarkan projek perintis sama bagi kategori taman perumahan atas tanah di Taman Oren dekat Padang Lalang.

Menurut Maimunah, MPSP dalam tempoh bulan Mac hingga April ini akan melancarkan projek perintis kategori kompleks bangunan kerajaan, pasar raya, hotel serta outlet makanan, kilang dan kondominium.

Dalam perkembangan berkaitan, Lai Kuan memberitahu pihaknya mula mengkaji proses pelaksanaan projek perintis yang telah pun dilaksanakan sebelum ini, demi memperbaiki mutu serta kaedah operasi dasar masa depan tersebut sebelum 1 Jun ini.

"Kita pantau semua lokaliti yang dipilih sebagai projek perintis, sebelum ini.

"Seperti di Kampung Sanglang ada 123 unit rumah, membabitkan 40 peratus penduduk dan kita akan kaji apakah kekurangan dan kelebihan untuk memperbaiki kaedah pelaksanaannya selepas ini," jelas beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, Maimunah memberikan Penang Green Council (PGC) turut menghantar draf teks Khutbah Jumaat untuk disemak oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) dan akan dibaca di Masjid Pongsu Seribu dekat Kepala Batas kelak.

Tiap-tiap hari, kira-kita 1,700 tan sisa pepejal dari negeri ini dilupuskan di Pusat Pelupusan Sisa Pepejal Pulau Burung dekat Nibong Tebal.

Kerajaan Negeri melalui MPSP dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) akan menguatkuasakan dasar pengasingan sisa di punca mulai 1 Jun, antara lain untuk memanjangkan hayat pusat pelupusan sampah di Pulau Burung.