23 February 2016

MAINPP hasrat remajakan premisnya di George Town jadi produk 'pelancongan muslim'

DERETAN rumah kedai sekitar kawasan tanah wakaf di Lebuh Acheh merupakan antara premis komersial yang dilawati rombongan MAINPP di sini, tengah hari tadi.

GEORGE TOWN – Premis milikan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) di sekitar George Town Tapak Warisan Dunia UNESCO yang mempunyai nilai warisan akan diremajakan sehingga menjadi kawasan 'pelancongan muslim'. 

Yang di-Pertuanya, Dato' Mohd. Salleh Man berkata demikian, selepas mengetuai rombongan MAINPP melawat beberapa kawasan di Kampung Kolam, Lebuh Acheh, Jalan Kapitan Keling dan Lebuh Buckingham.

MOHD. Salleh Man.
"Sekarang ini, kita (MAINPP) sedang berusaha memberi tambah nilai kepada premis-premis di bawah milikan MAINPP.

“Di sebalik lokasi lot-lot kedai milikan MAINPP yang strategik, iaitu, di kawasan UNESCO, jadi kita perlu bagi perhatian yang wajar agar ianya tidak lesu,” ujar beliau kepada pemberita.

Mohd. Salleh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir berkata demikian, selepas mengetuai lawatan MAINPP ke beberapa kawasan premis komersial berwajib di sini.

Mufti Negeri Pulau Pinang, Dato' Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor, Dato' Abdul Halim Hussain (Timbalan Yang di-Pertua MAINPP), Mohd. Tuah Ismail (Ahli Majlis MAINPP) dan Fakhruddin Abdul Rahman (Ketua Bahagian Wakaf MAINPP) turut serta lawatan kerja tersebut.

Mengulas isu sama, Abdul Halim memberitahu, hasrat MAINPP untuk meremajakan premis-premis milik badan berkanun di bawah Kerajaan Negeri ini, sekaligus menyumbang pada industri pelancongan Pulau Pinang.

ABDUL Halim Hussain.
“Kalau boleh, kita mahu pihak yang menjalankan perniagaan di premis MAINPP lebih berdaya saing, ceria dan mampu menjana sebagai pusat pelancongan berasaskan 'Muslim Tourism'.

“Jadi, apabila orang luar, khususnya dari Arab misalnya, yang datang ke Pulau Pinang, selain dari pelancongan konvensional yang biasa, dia juga boleh jumpa tarikan baru yang berasaskan Islam di negeri ini,” jelas Abdul Halim yang juga bekas Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.

Justeru, katanya lagi, MAINPP akan berunding dengan pihak berkepentingan seperti waris-waris pemilik serta agensi negeri Perbadanan Bandar Warisan George Town (GTWHI) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), untuk proses pemuliharaan semula bangunan-bangunan berwajib yang mempunyai nilai warisan, agama dan etnik.

“Kalau kita lihat sebahagian bangunan di tapak Masjid Melayu Lebuh Acheh, ianya agak usang dan sukar dibangunkan kerana terikat dengan beberapa perkara.

"Jadi, pihak MAINPP berperanan berunding dengan pihak berkepentingan agar ianya tidak terabai begitu sahaja,” katanya.

Difahamkan, MAINPP direkodkan mempunyai 430 premis di seluruh Pulau Pinnang.

Daripada jumlah itu, Fakhruddin memaklumkan, lebih 200 unit premis direkodkan berada sekitar George Town.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus