Skip to main content

Kasthuriraani ziarah kanak-kanak mangsa dera

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

PERAI - Kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang didera oleh ibu kandung di rumah dekat Kampung Manis di sini sendiri kian stabil, selepas menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya di sini baru-baru ini.

P. Kasturiraani di Hospital Seberang Jaya.
Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthurirani berharap rawatan dan pemerhatian daripada doktor pakar mampu memulihkan sepenuhnya perasaan trauma mangsa.

"Saya akan cuba membantu mangsa sedaya mungkin agar mangsa menjalani kehidupan yang lebih baik selepas ini," ujar Kasthuriraani kepada pemberita hari ini.

Dalam perkembangan sama, beliau turut memuji tindakan jiran yang segera menghubungi polis apabila terlihat kanak-kanak berkenaan didera.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk A. Thaiveegan dalam kenyataan berasingan dilaporkan berkata, kanak-kanak itu akan menerima rawatan hospital sehingga sembuh, sebelum diserahkan kepada datuk dan neneknya atau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Beliau memberitahu, mangsa dilihat semakin stabil dan pulih selepas menerima rawatan di sini.

Tambah Thaiveegan, polis akan mendapatkan laporan perubatan kanak-kanak itu bagi melengkapkan kertas siasatan kes berkenaan, sebelum menyerahkan kepada Pejabat Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Pengarah JKM Pulau Pinang, Said Sidup dilaporkan berkata, pihaknya akan memohon kepada mahkamah untuk mendapatkan perintah perlindungan sementara, untuk menjaga kanak-kanak berkenaan.

Katanya, mangsa akan ditempatkan sementara di rumah perlindungan di Taman Bakti Kanak-kanak dekat Kepala Batas, selepas dibenarkan keluar dari hospital, sebelum pihaknya membenarkan anggota keluarga menjaganya.

Terdahulu, mangsa terselamat daripada deraan ibu kandunganya sendiri dalam kejadian pada 2 Februari lalu, selepas jiran menghubung polis.

Polis menemui kanak-kanak itu dalam keadaan tidak bermaya dan mengalami beberapa kecederaan di belakang badan, lebam pada kelopak mata kiri, dua batang gigi tengah retak dan longgar serta terdapat kesan calar pada ibu jari kanan.

Susulan itu, polis menahan ibu mangsa yang berusia 41 tahun yang juga merupakan penagih dadah dan kini direman selama tiga hari sejak hari kejadian.