Skip to main content

Infinity labur RM2.8 juta dalam industri logistik kargo Pulau Pinang

KETUA Menteri (empat dari kiri) diiringi Lim Hock Seng (dua dari kiri), Phee Boon Poh (tiga dari kiri) serta pemimpin Infinity lain pada Majlis Perasmian Pembukaan Bangunan Infinity House House (Pulau Pinang) di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BAGAN JERMAL – Syarikat pengangkutan kargo darat, Infinity Infinity House (Pulau Pinang) melabur RM2.8 juta, termasuk membina bangunan bertingkat komersial di Pusat Perniagaan Jalan Raja Uda di sini baru-baru ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berharap, pelaburan syarikat multinational itu sekaligus terus menyumbang pada perkembangan potensi Pelabuhan Pulau Pinang menjadi 'pusat pemunggahan kargo' terbesar di Utara Semenanjung Malaysia.

WAJAH bangunan Infinity House (Penang).
"Infinity merupakan salah satu pemain utama yang memindahkan kargo dari kapal di Selatan Thailand ke Pulau Pinang.

"Dan, Pulau Pinang merupakan negeri yang mempunyai rantaian bekalan yang mencukupi untuk membantu aktiviti (pengangkutan) import-eksport ke negeri ini.

"Dengan ini, saya ingin mencabar Infinity untuk melakukan lebih banyak (pelaburan), memainkan peranan yang penting dalam mengembangkan industri logistik tempatan untuk memenuhi keperluan Pulau Pinang," jelas Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan semasa merasmikan pembukaan bangunan Infinity House (Pulau Pinang) di sini baru-baru ini.

Guang Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih turut memuji Infinity kerana mencapai pertumbuhan 11 peratus tahun lalu, sungguhpun 2015 dianggap tahun yang kian mencabar dari segi politik dan ekonomi.

"Dalam tahun 2016 ini, saya berharap Infinity akan mencapai pertumbuhan yang sama atau rekod yang lebih baik daripada tahun 2015, dan suatu hari nanti, kita semua boleh mengharapkan pusat logistik Infinity di Pulau Pinang mempromosi Pulau Pinang sebagai pusat perkhidmatan dan logistik pintar di rantau ini," jelas Guan Eng.

Dalam perkembangan lain, Guan Eng sekali lagi mendesak Kerajaan Persekutuan supaya meluluskan peruntukan RM353 juta untuk kerja-kerja mendalamkan kawasan laut berhampiran Pelabuhan Pulau Pinang.

Menurut beliau, lebih banyak kapal kargo besar boleh berlabuh di Pelabuhan Pulau Pinang sekiranya kerja-kerja mengeruk dan mengorek dasar laut dilaksanakan seperti dijanjikan dulu.

"Sebagai rakyat Malaysia di Pulau Pinang, kami telah menanti hampir 10 tahun untuk kerja-kerja pengorekan laut ini," jelas Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam.

Beliau turut membangkitkan ura-ura keperluan Perlabuhan Pulau Pinang mencapai status zon perdagangan bebas, sambil mempersoal kemampuan Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC) untuk melakukan projek masa depan itu.

Sebelum itu, Pengarah Eksekutif Infinity Logistics & Transport Sdn. Bhd, Ethan Kwan memberitahu Pulau Pinang merupakan lokasi pelaburan yang kedua, selepas syarikat multinasional itu berpoerasi di Pelabuhan Klang dekat Selangor.

"Dengan kepemimpinan yang kuat daripada Kerajaan Negeri (Pulau Pinang) serta keyakinan kuat kami terhadap pembangunan negeri ini, kami telah memutuskan untuk menempatkan bangunan yang kami panggil 'Infinity House (Penang)', demi menunjukkan komitmen perniagaan kami di Pulau Pinang.

"Dengan kedudukans strategik 'Infinity House (Penang) berhampiran Pelabuhan Pulau Pinang, kami dapat menyatukan tiga operasi pejabat kami di bawah satu bumbung, sekaligus mewujudkan kecekapan yang lebih baik dari segi komunikasi dan operasi," jelas beliau sambil merakamkan penghargaan kepada Guan Eng kerana sudi merasmikan bangunan baru tersebut.

Tambah beliau, pihaknya melabur di negeri ini kerana yakin dengan potensi Pelabuhan Pulau Pinang sebagai pusat perdagangan terbesar di Utara (Semenanjung Malaysia).

"Dari pemprosesan tahunan (pada tahun 1974) serendah 2,994 TEU (unit bersamaan 20 kaki) kemudian, Pelabuhan Pulau Pinang telah berkembang mencapai pemprosesan lebih 1.3 TEU pada tahun 2015.

"Dari Pelabuhan (Pulau Pinang) yang mempunyai kapasiti (maksimum) 2 juta TEU, kami mahu merealisasikan lebih banyak peluang untuk perkembangannya," jelas beliau.

Menurut beliau, Pelabuhan Pulau Pinang dilihat sebagai pelabuhan pengantar (feeder port) di rantau ini menerima kargo dari beberapa kawasan pedalaman di Selatan Thailand.

Katanya lagi, kira-kira 40 peratus daripada jumlah terminal pada tahun lepas adalah daripada wilayah Selatan Thailand.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti merangkap ADUN Bagan Jermal, Lim Hock Seng, Phee Boon Poh (Exco Kebajikan & Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar dan Ian James (Ketua Pegawai Eksekutif Infinity Logistics & Transport Sdn. Bhd.) turut sertai majlis tersebut.