Skip to main content

Hartanah di P.Pinang paling menarik minat pelabur, Guan Eng ulas laporan Night Frank Malaysia

KETUA Menteri menyempurnakan gimik pecah tanah, selepas berucap pada Majlis Pecah Tanah Kompleks Makanan Permatang Tinggi dekat Bukit Mertajam, pagi tadi.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

MACHANG BUBUK - Pulau Pinang mengatasi Kuala Lumpur serta segi tiga emas Lembah Klang sebagai destinasi paling diminati untuk pelaburan hartanah, lapor firma perunding global Night Frank Malaysia.

Ketua Menteri Y.A.B Tuan Lim Guan Eng berkata demikian pada Majlis Pecah Tanah Kompleks Makanan Permatang Tinggi, yang dianggarkan menelan kos kira-kira RM100,000 di sini pada pagi ini.

"Saya sendiri tidak berani mengatakan hartanah di Pulau Pinang paling diminati pelaburan, tetapi itulah hakikatnya yang dilakukan melalui firma kaji selidik secara bebas," jelas Guan Eng pada majlis rasmi tersebut.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machang Bubuk, Lee Khai Loon, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong, Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato' Maimunah Mohd. Sharif serta Setiausahanya Sr. Rozali Mohamud.

Difahamkan, Malaysia Commercial Real Estate Investment Sentiment Survey 2016 yang dilakukan oleh Night Frank Malaysia itu melibatkan 700 responden, rata-rata daripada peringkat pengurus kanan industri hartanah.

Menurut firman itu, 55 peratus responden adalah pemaju, pemberi pinjaman komersial (24 peratus) serta baki 21 peratus mewakili pengurus dan Real Estate Investment Trust (REIT), sekaligus mencerminkan tinjauan sebenar.

Hasil kajian, Pulau Pinang mendahului dengan 67 peratus responden, diikuti pinggir Kuala Lumpur & Lemah Klang (56 peratus), Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia & Johor (55 peratus).

Kuala Lumpur jauh ke tempat ke-4, dengan 49 peratus.

Kaji selidik itu mendedahkan penjagaan kesihatan merupakan sektor paling menarik untuk pelaburan hartanah dengan 68 peratus responden, diikuti oleh segmentasi perhotelan dan melancong (65 peratus), industri logistik (52 peratus) serta runcit (50 peratus).

Paling kurang maklum balas bagi satu-satu sub- sektor adalah 36 peratus.

Kini, Pulau Pinang dikenali paling menarik dengan 86 peratus melabur dalam industri perhotelan di bandaraya George Town Tapak Warisan Dunia UNESCO, serta 79 peratus dalam sektor pelaburan pelancongan perubatan.

Kajian itu turut memberitahu bahawa faktor kejatuhan 25 peratus nilai ringgit berbanding sedolar AS berbanding 12 bulan lalu sekaligus menggalakkan pelabur asing berebut hartanah di bawah pasaran yang kian melebar.

"Kita tidak boleh mengatakan dengan pasti bagaimana 2016 akan berubah, tetapi bagi pelabur jangka sederhana hingga panjang, terutama dari luar negara boleh mendapat manfaat daripada mata wang (Ringgit Malaysia) yang kian susut nilai," jelas Pengarah Eksekutif Pasaran Modal Knight Frank Malaysia, James Buckley antara dalam South China Morning Post.