Skip to main content

Guan Eng anggap kenyataan AG Switzerland kes skandal AS$4 bilion 'ada asas'

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Kecurian AS$4 bilion daripada syarikat milik Kerajaan Malaysia yang didedah oleh Peguam Negara (AG) Switzerland, Micheal Lauber menerusi media baru-baru ini dianggap menarik perhatian rakyat di negara ini, sebagaimana skandal kewangan berkaitan syarikat 1Malaysia Developmen Berhad (1MDB) sebelum ini.

Mengulas mengenai perkara itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata pendedahan Micheal Lauber itu seakan 'ada asas' tersendiri.

“Saya rasa ini amat membimbangkan kerana ia datang daripada peguam negara Switzerland, dikenali sebagai negara yang bebas dan berpandukan kepada kedaulatan undang-undang, yang tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tanpa mengira kedudukan, sekiranya berlaku sebarang salah laku atau penyelewengan.

“Sekiranya Peguam Negara (Micheal Lauber) di sana boleh mengeluarkan kenyataan secara umum, ini bermakna memang ada asas tentang siasatan, bahawa ada salah saku dan penyelewengan yang amat serius sekali, sampai melibatkan penyelewengan sebanyak AS$4 bilion, ini bukan (matawang negara) Ringgit.

“Sekarang, rakyat Malaysia lali dengan skandal berbilion...mesti berbilion baru tarik perhatian,” sindir Guan Eng menjawab soalan pemberita di sini, pagi tadi.

Terdahulu, pendakwa raya Switzerland dalam satu kenyataan media berkata, akan meminta bantuan pihak berkuasa Malaysia berhubung siasatan kecurian besar-besaran daripada sebuah firma milik kerajaan yang ketika ini berdepan skandal rasuah.

Penyiasat Switzerland mempercayai kira-kira AS$4 bilion atau RM16.8 bilion dicuri daripada syarikat milik kerajaan Malaysia, dana yang diperuntukkan untuk tujuan ekonomi dan projek pembangunan di negara ini.


Mengulas lanjut mengenai perkara tersebut, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan melahirkan rasa kesal dengan langkah integriti Kerajaan Switzerland.

Tegasnya, sepatutnya hasrat itu diluahkan melalui Kerajaan dengan Kerajaan atau “G2G”, bukan melalui media massa.


Ahmad Zahid bagaimanapun berkata, Putrajaya akan menghantar Peguam Negara (Malaysia), Tan Sri Mohamed Apandi Ali bertemu Micheal Lauber, bagi mendapatkan butiran lanjut berkenaan permintaan mereka.

Susulan kenyataan pejabat peguam negara Switzerland itu, Mohamed Apandi sendiri berkata dilaporkan berkata, pihak berkuasa Malaysia termasuk Jabatan Peguam Negara komited bekerjasama dengan semua entiti penguatkuasaan undang-undang luar negara berkaitan, menerusi konvensyen dan perjanjian antarabangsa yang sah, berhubung siasatan mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Katanya lagi, pejabat AG di Malaysia akan mengambil segala langkah perlu membuat susulan dan bekerjasama dengan rakan sejawatannya di negara berkenaan.

Sementara itu, 1MDB dalam satu kenyataan berasingan memberitahu, syarikat itu tidak dihubungi mana-mana pihak berkuasa undang-undang dari luar negara mengenai sebarang perkara yang mempunyai kaitan dengannya.