Skip to main content

Tiga lesen premis hiburan palsu, MPSP perketat syarat permohonan, kata Maimunah

MAIMUNAH Mohd. Sharif (dua dari kiri) bersama-sama Rozali Mohamud (tengah) dan tiga pegawai MPSP lain pada sidang media di sini baru-baru ini.  

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG JAYA - Dari 32 pusat hihuran yang diserbu baru-baru ini, tiga buah dikenal pasti beroperasi dengan menggunakan lesen premis perniagaan Majlis Perbandaran Seberang Perai  (MPSP) palsu.

Yang di-Pertua MPSP, Dato' Maimunah Mohd. Sharif memberitahu, dua operasi bersepadu itu turut membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

"Laporan (polis) dibuat adalah untuk siasatan dan tindakan tegas pihak PDRM, (dan) kertas siasatan telahpun dibuka untuk perkara ini," jelas Maimunah pada sidang media di Kompleks Ibupejabat MPSP dekat Bandar Perda di sini baru-baru ini. 

Hadir sama, Setiausaha MPSP, Sr. Rozali Mohamed serta serta tiga pegawai Pihak Berkuasa Tempatan  (PBT) lain.

Susulan itu, Maimunah memberitahu, MPSP menubuhkan Task Force Pelesenan dan Penguatkuasaan Hihuran Dan Internet Kafe, dengan wakil PDRM serta AADK dijemput menganggotai badan bertindak tersebut.

Tidak cukup dengan itu, katanya lagi, PBT akan mengetatkan lagi syarat permohonan serta pembaharuan lesen premis perniagaan, demi memastikan kes pemalsuan lesen MPSP tidak berulang.

"Kita (MPSP) mensyaratkan pemohon untuk mengemukakan dokumen atau AP pembelian mesin atau invois sewaan atau pembelian mesin daripada pemegang AP dan dokumen kelulusan AP atau penyewa mesin.

"Kita (MPSP) akan merujuk semula kepada jabatan-jabatan lesen hiburan bagi pembaharuan lesen hiburan. 

"Kita juga akan mengadakan pemantauan dan penguatkuasaan secara berkala, dengan kerjasama agensi penguatkuasaan luar (seperti PDRM dan AADK).

"Kita akan mengadakan bengkel khusus pada tahun 2016 (antara lain) bagi membincangkan aspek menghadkan kelulusan lesen premis hiburan dalam radius tertentu," tegas Maimunah.

17 Disember lalu, premis hiburan Eighteen Game World di Jalan Bukit Taman Indah dekat Simpang Empat diserbu.

Hasil serbuan mendapati terdapat mesin similator dan mesin karnival di premis hiburan yang beroperasi menggunakan lesen palsu MPSP.

Manakala dalam operasi berasingan pada 31 Disember pula, 31 premis hiburan lain diserbu dan hanya dua buah beroperasi secara 'haram'.

Terdapat 30 mesin simulator dan mesin karnival dalam premis hiburan Funtacy Playground Equipment Supply / Woon  Shieh Ling di Taman Permatang Tinggi Indah dekat Bukit Mertajam.

Di Ah Baa Enterprise / Yap Ah Baa dekat Jalan IKS Juru Estate, Bukit Mertajam pula, terdapat operasi 40 mesin simulator dan mesin karnival.

"Sebanyak empat buah mesin simulator dan 25 buah kerusi disita di dua buah premis itu," jelas sumber MPSP.