Skip to main content

Sepatutnya TMP 'tanggungjawab' Pusat, kata ADUN Batu Maung

WAKIL PDP, Azmi Mohamad memberi penerangan lanjut mengenai gambaran sebenar rancangan tambakan laut di Batu Maung, pada majlis interaksi dua hala dengan JKKK setempat di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BAYAN LEPAS - Penarafan jalan serta pemajuan rumah mampu milik sebenarnya di bawah tanggungjawab Kerajaan Pusat jika berdasarkan Senarai Persekutuan dalam Perlembagaan, tetapi Kerajaan Negeri hari ini terpaksa melaksanakan Pelan Induk Pengangkutan (TMP) demi menangani masalah kesesakan trafik pada masa depan di Pulau Pinang.

ABDUL Malik Abul Kassim
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Dato' Abdul Malik Abul Kassim berkata demikain pada Majlis Penerangan Awam Mengenai TMP Kepada Jawatankuasa Kemajuan & Keselamatan Komuniti (JKKK) berwajib baru-baru ini.

"Pemajuan perumahan dan pembinaan sistem jalan raya sebenarnya adalah tanggungjawab Kerajaan Pusat, dan pada tahun 2008, 2009 dan 2010, kita (Kerajaan Negeri) telah berusaha untuk memasukkan projek-projek ini dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) dan RMK-11.

"Kita (Kerajaan Negeri) telah berkali-kali meminta Kerajaan Pusat membina dan melebarkan jalan raya serta mewujudkan sistem bas aliran cepat (BRT) dan sebagainya, tetapi, malangnya Kerajaan Pusat tidak memberikan keutamaan kepada Pulau Pinang," jelas Abdul Malik yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna di Kompleks Tabung Haji di sini.

Penerangan lanjut mengenai TMP yang bernilai kira-kira RM27 bilion itu disampaikan oleh Azmi Mohamad, iaitu wakil komunikasi korporat bagi Konsortium SRS, iaitu rakan pelaksana projek (PDP) yang dilantik oleh Kerajaan Negeri pada 23 Oktober tahun lalu.

"Ia adalah sebuah pulau, bukan tebus guna yang rapat dengan pantai sedia ada.

"Jarak antara pantai dan pulau (kawasan yang ditebus guna) antara 200 (meter) hingga 300 meter.

"Maksudnya, penduduk yang terlibat dan jeti atau kawasan tambatan sampan itu tidak akan terlibat dan diganggu oleh cadangan projek tebus guna ini.

"Kalau dengan (tebus guna di) 'Pulau A' dan 'Pulau B' (serta 'Pulau C') ini, cukup untuk kita biaya TMP ini," jelas beliau lagi.

Beliau memberitahu akan ada enam laluan masuk ke kedua-dua kawasan tambakan itu.

DUA kawasan yang diwarnakan kuning itu adalah lokasi sebenar tapak cadangan tebus guna laut, jelas Azmi Mohamad. 

Pada sidang media selepas itu, Abdul Malik memberitahu usaha mengadakan rundingan awam, termasuk dengan JKKK serta nelayan-nelayan yang terbabit akan dilaksanakan, sungguhpun ura-ura akan dipulau oleh segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab.

9 Disember lalu, Abdul Malik mengadakan rundingan awam dengan kira-kira 120 nelayan di sekitar Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Batu Maung.

Katanya, Kerajaan Negeri akan terus mengadakan rundingan awam dengan nelayan-nelayan pantai, termasuk dari Permatang Damar Laut, sehinggalah PDP mendapat kelulusan Penilaian Impak Sosial (SIA) dan Kajian Terperinci Impak Alam (DEIA) serta kelulusan berwajib yang lain daripada agensi Persekutuan, bagi memulakan kerja-kerja penambakan di kawasan tersebut.

TMP merupakan projek pemajuan sistem trafik bersepadu yang meliputi pembinaan beberapa batang lebuh raya, termasuk dari Pulau ke Seberang Perai.

Pelan itu turut terdiri oleh pemajuan satu jajaran transit aliran ringan (LRT) serta dua monorail di bahagian Pulau, serta satu LRT lain merentasi laut ke tanah besar Seberang Perai.

Selain itu, satu lagi jajaran monoral lain serta BRT turut akan diwujudkan di Seberang Perai.

Manakala, hasil tambakan laut tersebut untuk membiayai kos pemajuan TMP akan memastikan Kerajaan Negeri dan rakyat memilik kepentingan serta aset pengangkutan awam tersebut, bukannya pihak swasta.