Skip to main content

'Perkongsian Awam-Swasta' mampu sedia rumah mencukupi sungguhpun Pusat layan dingin Pulau Pinang, kata Guan Eng

KETUA Menteri dan pemimpin Kerajaan Pulau Pinang yang lain disalah satu gerai pameran Sidang Kemuncak Hartanah Antarabangsa Pulau Pinang 2016 baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

PANTAI JEREJAK - Sungguhpun dilayan dingin oleh Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri hari ini berharap amalan Perkongsian Awam-Swasta mampu menyediakan rumah mampu milik yang mencukupi untuk rakyat Malaysia di Pulau Pinang.

Menurut Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata demikian pada Sidang Kemuncak Hartanah Antarabangsa Pulau Pinang 2016 baru-baru ini.

"Saya masih ingat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bahawa 9,999 unit rumah mampu milik akan dibina di kawasan Air Itam dan Air Putih (iaitu) kawasan saya pada menjelang PRU13 (Pilihan Raya Umum Ke-13), namun jelas terbukti ia janji kosong.

"Inilah sebabnya, mengapa begitu penting sidang kemuncak seperti ini, kerana Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam mood Perkongsian Awam-Swasta dengan melibatkan sektor (pemaju perumahan) swasta, untuk mendengar (maklum balas) daripada sektor swasta tentang bagaimana kita (Kerajaan Negeri) boleh meningkatkan sistem penyampaian perumahan mampu milik, khususnya untuk rakyat Pulau Pinang," jelas Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih di Subterranian Penang International Conference & Excibition (sPICE) di sini, 8 Januari lalu.

ADUN Datuk Keramat merangkap Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo turut berucap pada sidang kemuncak tahunan kedua itu.

Guan Eng memberitahu, rakyat Malaysia di negeri ini sepatutnya tidak dianaktirikan oleh pentadbiran Najib, memandangkan Pulau Pinang merupakan pembayar cukai ketiga tertinggi di negara ini pada tahun lepas.

"Kami telah membayar sejumlah RM6.3 bilion, hanya lebih kurang 2 peratus daripada jumlah itu telah disalurkan kembali ke Pulau Pinang.

"Dalam apa jua keadaan malang, tidak ada satu sen pun, untuk perumahan awam mampu milik," jelas Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam.

Selain itu, Guan Eng memberitahu, Kerajaan Negeri sehingga kini masih menuntut Kerajaan Persekutuan menyegerakan proses kelulusan semua permohonan Permit Iklan dan Lesen Pemaju (APDL), susulan dibangkitkan oleh para pemaju dalam sidang kemuncak kali yang pertama pada tahun lalu.

"Ini adalah satu contoh bagaimana Kerajaan Negeri Pulau Pinang sensitif terhadap masalah yang dihadapi oleh pemaju.

"Kerajaan Persekutuan seakan mensabotaj ekonomi, bukan sahaja pemaju dari Pulau Pinang, tetapi, semua penduduk Pulau Pinang secara keseluruhannya, industri perumahan...melibatkan kira-kira 140 peserta industri," tegas Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Difahamkan, daripada 81 APDL yang dimohon oleh pemaju perumahan ke Pulau Pinang, kira-kira 47 lagi masih belum diluluskan tanpa maklum balas lanjut daripada Kerajaan Pusat.

Dalam perkembangan lain, beliau berharap rancangan Kerajaan Negeri untuk merealisasikan Pelan Induk Pengangkutan (TMP) bernilai RM27 bilion demi menangani masalah kesesakan trafik sehingga 2050, sekaligus mampu menjana pertumbuhan ekonomi serta memajukan sektor hartanah perumahan di negeri ini.

Sebelum itu, Jagdeep memberitahu, terdapat 12 projek perumahan yang terdiri oleh 22,512 unit rumah kos rendah, kos sederhana rendah dan rumah mampu milik sedang dan akan dibina di kelima-lima daerah di negeri ini, membabitkan perkongsian sektor awam dan swasta.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri senantiasa mengalu-alukan dua permohonan Kerajaan Pusat untuk membina rumah mampu milik di bawah program Perumahan Rakyat 1Malaysia (P1MA) di Pulau Pinang baru-baru ini.

Jelasnya, dua permohonan itu sebenarnya adalah susulan pada mesyuarat beliau dengan pegawai Perbadanan PRIMA Malaysia pada bulan Ogos tahun lalu.

"Kami menerima permohonan pada Disember tahun lalu bagi dua projek perumahan mampu milik di bawah PR1MA di Batu Ferringhi dan Bukit Gelugor, dengan sejumlah 2,644 unit," katanya.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I merangkap ADUN Pantai Jerejak, Dato' Mohd. Rashid Hasnon, Dato' Maimunah Mohd. Sharif (Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai, MPSP) dan Dato' Dato' Rosli Jaafar (Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang, PDC).

Pemaju Ideal Properties, Dato' Alex Ooi, Dato' Toh Chin Leong (Pengurus Besar Kanan IJM Land), Micheal Geh (Sr Partner of Rain & Home International), Dato' Finn Choong Khuat Seng (Convenor Jawatankuasa Pengurusan Pembangunan Hartanah dan Pembinaan bagi Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang), Dr. Noraini Abdullah (Pengarah Urusan Asia Global Business Sdn. Bhd.), Tengku Dato' Idaura Ibrahim (bekas Timbalan Pengurus Besar PDC) dan Dato' Ong Weng Soon (Naib Presiden Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang) dan Ong Ban Seng (Pengarah Penganjur Persidangan) antara tokoh yang hadir pada persidangan kali ini.

Sidang Kemuncak Hartanah Pulau Pinang 2016 yang melibatkan Persekutuan Hartanah Antarabangsa (FIABCI) merupakan antara usahasama Kerajaan Negeri untuk menangani cabaran semasa berkaitan pembangunan hartanah serta kepentingannya untuk rakyat Malaysia di Pulau Pinang.