Skip to main content

Pelan Induk Pengangkutan P.Pinang perlukan 'suara' Seberang Perai, kata Guan Eng

KOMUNITI setempat pada Majlis Rumah Terbuka Krismas 2015 Peringkat KADUN Perai di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Rancangan Pelan Induk Pengangkutan (PIP) yang kini dalam proses mendapatkan kelulusan berwajib daripada agensi Pusat, tidak dapat tidak mesti turut mendapatkan maklum balas awam daripada penduduk di negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, suara penduduk Pulau Pinang adalah penting di sini Kerajaan Negeri dalam merancangan pelan menangani kesesakan trafik pada masa hadapan itu.

"Jadi 'suara' mereka juga penting dan mereka dialu-alukan untuk menyatakan pandangan berhubung pelaksanaan PIP ini.

"Sekiranya mereka menolak dan tidak bersetuju, maka, PIP tidak akan dilaksanakan," kata Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita, selepas merasmikan Majlis Rumah Terbuka Krismas di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Perai di sini pada 20 Disember 2015.

Timbalan Ketua Menteri II merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai, Prof. P. Ramasamy serta Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani turut berucap pada majlis tersebut.

Difahamkan, Kerajaan Negeri baru-baru ini memberi kelulusan berwajib kepada Konsortium SRS, selepas rakan penyampai projek (PDP) tersebut membentangkan skim pengangkutan awam atas landasan dan skim pemajuan lebuh raya secara bersepadu, yang meliputi bahagian pulau dan bahagian Seberang Perai.

Kelulusan itu membolehkan PDP memulakan rundingan serta mendapatkan kelulusan PIP berwajib susulan daripada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) di bawah Kerajaan Pusat pula.

Skim pengangkutan awam atas landasan (railway scheme) terdiri oleh satu jajaran transit aliran ringan (LRT) serta dua monorail di bahagian Pulau, serta satu LRT lain merentasi laut ke tanah besar Seberang Perai.

Skim tersebut juga terdiri oleh satu lagi jajaran monoral serta mewujudkan sistem bas alihan cepat (BRT) di Seberang Perai.

Satu lagi skim adalah mengenai pemajuan beberapa jajaran lebuh raya secara bersepadu (highway scheme) di bahagian Pulau ke Seberang Perai, demi menangani kesesakan tarfik kenderaan pada waktu puncak.

Manakala, Island Link pula adalah satu lagi projek yang diutamakan oleh Kerajaan Negeri, sama seperti jajaran LRT Komtar-Bayan Lepas.

Berucap baru-baru ini, tambah Guan Eng, cadangan pelaksanaan PIP antara lain termasuk jaringan laluan monorail sejauh 28.4 kilometer dengan kemudahan 22 stesen hentian sepanjang Jalan Raja Uda menuju ke Bukit Mertajam melalui kawasan Alma, Bandar Perda, Taman Supreme, Sunway Carnival Mall dan Penang Sentral.

"Penduduk di kawasan Perai juga akan terlibat memandangkan jaringan laluan tersebut di sebelah selatan Perai iaitu bersebelahan Jambatan Pulau Pinang menuju ke Jalan Perusahaan melalui Taman Supreme sebelum berakhir di Penang Sentral.

"Begitu juga jaringan laluan bagi LRT yang akan menghubungkan Gelugor (berdekatan Jambatan Pulau Pinang) di sebelah bahagian pulau dan Kawasan Perindustrian Perai di Seberang Perai sebelum menuju ke arah utara di Penang Sentral," jelas Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam.

Selain rundingan awam dengan penduduk setempat, katanya lagi, kelulusan Penilaian Impak Sosial (SIA) serta Kajian Terperinci Impak Alam (DEIA) mesti diperoleh terlebih dahulu, sebelum memulakan kerja-kerja pelaksanaan Transport Master Plan (TMP) tersebut.

Lebih 200 kanak-kanak diraikan dengan kehadiran istimewa 'Santa Claus' pada Majlis Rumah Terbuka Krismas KADUN Perai tersebut.