Skip to main content

MPSP harap 'tipping fee' 2016 kian kurang, kata Maimunah

PARA penerima Anugerah Komuniti Mampan 2015 memegang cek replika serta sijil pengiktirafan yang diberikan oleh MPSP di sini, semalam.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG JAYA - Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) berharap amalan pengasingan sisa di punca yang akan dikuatkuasakan mulai 1 Jun depan kian mengurangkan lagi tipping fee atau caj yang dikenakan atas kuantiti tertentu sisa yang diterima di tapak pelupusan sampah Pulau Burung, pada tahun ini.

Yang di-Pertuanya, Dato' Maimunah Mohd. Sharif memberitahu, sisa pepejal yang dikumpulkan di tapak pelupusan sampah tersebut pada tahun lepas sahaja seberat 440,460 sisa pepajal, dengan RM8.89 juta tipping fee dikeluarkan oleh MPSP.

"Ini baru kos tipping fee sahaja, belum masuk lagi kos minyak, kos penyelenggaraan kenderaan dan gaji kepada pekerja-pekerja awam yang terlibat dalam kerja-kerja pembersihan.

"Penjimatan sumber boleh berlipat kali ganda lagi sekiranya kita (warga Seberang Perai) mampu mengurangkan lagi pengasingan sisa di punca," jelas Maimunah pada Majlis Penyampaian Hadiah Anugerah Komuniti Mampan 2015 di Kompleks Ibupejabat MPSP dekat Bandar Perda di sini, semalam.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow merasmikan program tersebut.

Menurut Maimunah lagi, jika amalan pengasingan sisa di punca berjaya sekaligus mampu memanjangkan jangka hayat pusat pelupusan sampah tersebut.

"Tahun pertama pelancaran (Anugerah Komuniti Mampan) pada 2013, disertai 10 pertubuhan komuniti sahaja, tetapi, 14 penyertaan pada tahun 2014 dan 18 penyertaan pada tahun 2015," jelas Maimunah.

Selain program Anugerah Komuniti Mampan, Maimunah memberitahu lebih 20 jenis program kitar semula dilaksanakan oleh MPSP sepanjang tahun lalu.

Antaranya, Anugerah Sokolah Hijau, Anugerah Kitar Semula Sekolah Tadika, Anugerah Sekolah Bestari, Majlis Penyerahan Pasuka Bunga Kepada Sekolah-Sekolah, bengkel kompos, Kempen Makan Sampai Habis, kebun kejiranan, aktiviti mengumpulkan kotak minuman, menghasilkan sabun daripada minyak masak terpakai dan sebagainya.

Kon Yeow dalam ucapannya pula merakamkan tahniah atas kejayaan MPSP melancarkan program kitar semula pada kadar 39 peratus, dikatakan rekod tertinggi berbanding Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di tanah air ini.

"Saya berasa peranan komuniti adalah amat penting bagi membantu kita (Kerajaan Negeri dan PBT) memastikan Pulau Pinang terus dilihat bersih, hijau selamat dan sihat.

"Tahniah kepada MPSP atas pencapaian ini," jelas Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.

Perbadanan Pengurusan Taman Pandan dipilih sebagai Johan Anugerah Komuniti Mampan 2015, dengan membawa pulang sijil pengiktirafan serta insentif RM3,000.

Kawasan Rukun Tetangga Taman Keenways di tempat kedua anugerah itu serta menerima insentif RM2,500, dan Persatuan Pemilik & Penghuni Taman Tambut Indah di tempat ketiga dengan menerima insentif RM2,000.

Koperasi Lestari Alam Sekitar Seberang Perai Berhad pula dipilih menerima anugerah inovasi khas serta turut menerima insentif RM700, pada majlis penyampaian anugerah tersebut.

Anugerah Komuniti Mampan dianjurkan tiap-tiap tahun demi memberi pengiktirafan kepada inisiatif-inisiatif yang dijalankan oleh pertubuhan komuniti dalam menjaga kualiti alam sekitar di ketiga-tiga daerah di Seberang Perai.