Skip to main content

Lima tahun MPSP, ThinkCity akan remajakan Pekan Lama Butterworth – Maimunah

KEUNIKAN tersendiri dalam 1st International Urban Art Festival yang dilangsungkan di Pekan Lama dekat Jeti Butterworth, pada bulan Ogos tahun lalu.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BUTTERWORTH - Pekan Lama Butterworth yang mempunyai nilai warisan tersendiri merupakan antara empat lokasi yang akan diremajakan oleh Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menurut Yang di-Pertua MPSP, Dato' Maimunah Mohd. Sharif, rancangan pembangunan di bawah Program Butterworth Baharu itu akan direalisasikan bersama-sama Think City Sdn. Bhd. (ThinkCity).

"Sepertimana dibuat di peringkat (bandar raya) George Town, Think City juga memberikan geran untuk kerja-kerja pemuliharaan semula beberapa kawasan Butterworth.

"Empat program yang akan kita fokus (untuk kerja-kerja pemuliharaan) iaitu Pekan Lama, Penang Sentral, Butterworth Waterfront dan Sungai Perai," jelas Maimunah di Kompleks Ibupejabat MPSP dekat Bandar Perda baru-baru ini.

MAIMUNAH Mohd. Sharif (duduk, kanan) dan Hamdan Abdul Majeed saling menandatangani MOU 'meremajakan' semula Butterworth, sambil disaksikan oleh pemimpin Kerajaan Negeri yang lain di Kompleks MPSP di sini baru-baru ini.

MOU yang ditandatangani oleh Maimunah dan Pengarah Eksekutif ThinkCity, Hamdan Abdul Majeed itu turut disaksikan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

Turut serta, Timbalan Ketua Menteri I, Dato' Mohd. Rashid Hasnon, P. Ramasamy (Timbalan Ketua Menteri II), Chow Kon Yeow (Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir), Dato' Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) serta Sr. Rozali Mohamud (Setiausaha Majlis bagi MPSP).

Pemeteraian MOU tersebut dilangsungkan sejurus selesai Majlis Mengangkat Sumpah dan Penerimaan Jawatan Ahli Majlis MPSP 2016.

Difahamkan, sejak tahun 2011 lagi MPSP bekerjasama dengan ThinkCity dalam meremajakan Butterworth serta mengembalikan semula kegemilangan kawasan-kawasan pelancongan warisan berwajib tersebut.

Kedua-dua pihak bekerjasama melakukan kajian lapangan dan penyelidikan terperinci mengenai potensi Butterworth dalam tempoh dua tahun, sejak 2014.

Pada tahun lalu sahaja, sebanyak 12 aktiviti dilakukan oleh MPSP bersama-sama ThinkCity.

Antaranya, baseline survey & study of Downtown Butterworth, 1st International Arts Festival dekat Butterworth di bawah Butterworth Fringe Butterworth  (BFF), Six Seberang Perai Stories, Gotong-royong dekat Taman Pantai, Jeti Lama dan Rope Walk Bagan, rundingan awam dengan komuniti Taman Pantai serta kaum peniaga Rope Walk Bagan, penarafan Jalan Jeti Lama, Jalan Pasar dan Jalan Dato' Haji Ahmad Said, cetakan 12 poskad mengenai Butterworth Quick Guide dengan pemetaan informasi dalam internet (www.Butterworthguide.com), pemetaan masjid-masjid warisan di Seberang Perai, BFF serta Pelan Tindakan Pekan Lama.

"Penganjuran BFF pada tahun 2015 telah menarik 18,000 pengunjung ke kawasan Jeti Lama.

"Fokus lokasi 2016 dalam Pelan Tindak Pekan Lama adalah di empat kawasan, iaitu Dewan Ria Community Facilities, Jeti Lama Heritage Quarter, Taman Pantai dan Rope Walk Taman Selatan (Bagan)," jelas Maimunah.

Itu, katanya, tidak termasuk RM311,000 yang diberikan oleh beberapa pihak untuk menjalankan aktiviti lain, bersama-sama ThinkCity di Butterworth.

"Keseluruhan jumlah pelaburan bersama ini kira-kira RM2.7 juta," jelas Maimunah lagi.

Selain diberi mandat meremajakan 'Butterworth Baharu', ThinkCity adalah agensi yang diberi peranan yang sama dalam memeriahkan semula nilai pembangunan di Bandaraya George Town, Kuala Lumpur dan Johor Bharu.