Skip to main content

Kerajaan P.Pinang, rakyat kuasai kepentingan LRT selepas siap, bukan swasta, respons Kon Yeow

CHOW Kon Yeow (kanan) dan Szeto Wai Long pada sidang media di Komtar, George Town, petang tadi.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Hasil tambakan laut untuk membiayai kos pemajuan Transit Aliran Ringgan (LRT) dari Komtar ke Bayan Lepas serta lebuh raya dari Pulau merentasi laut ke Seberang Perai akan memastikan Kerajaan Negeri memiliki kepentingan atas pengangkutan awam tersebut, bukan pihak swasta.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow memberitahu, kedua-dua projek utama di bawah Pelan Induk Pengangkutan (TMP) tersebut akan diserahkan kembali pada Kerajaan Negeri, selepas siap dimajukan oleh Konsortium SRS selaku rakan pelaksana projek (PDP) nanti.

"Pengangkutan (awam) adalah suatu keperluan sosial...kalau operasi tiada rugipun, itu sudah baik.

"Dalam kes ini, capital investment datang daripada Kerajaan Negeri melalui tambakan laut, ertinya ia (tanah yang ditebus guna ini) dimiliki oleh kerajaan dan rakyat.

"Jangan bimbang sekiranya penjualan tiket-tiket (LRT) untuk membiayai (kos pemajuan) RM6 bilion itu tidak mencukupi, kerana ia sudah ditanggung oleh Kerajaan Negeri melalui tambakan laut itu.

"Inilah tujuan mengapa tambakan laut diperlukan, kerana kita milik sistem (LRT) itu," jelas Kon Yeow kepada wartawan di sini tengah hari tadi.

Penjelasan itu sekaligus menolak dakwah pembangkang Pulau Pinang yang mendakwa kerja-kerja tambakan laut di negeri ini lebih merugikan rakyat serta menguntungkan pemaju swasta terbabit.

"Kerajaan Negeri menjadi pemilik tanah-tanah yang ditambak itu, bukan seperti kontraktor dulu-dulu apabila memeterai satu-satu perjanjian," jelas yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.

Difahamkan, Kerajaan Negeri era Barisan Nasional pada tahun 1999 pernah meluluskan projek tambakan laut seluas 940 ekar di Tanjung Pinang dengan harga serendah RM1 sekaki persegi kepada satu pihak sahaja, beserta syarat hanya 10 peratus tanah tebus guna tersebut diserahkan kepada Kerajaan Negeri.

Sebelum itu, Kon Yeow bersama-sama Pengarah Projek TMP daripada Konsortium SRS, Szeto Wai Long membentangkan kajian terperinci serta status pelaksanaan TMP yang terbaru, selepas mendapat 'lampu hijau' Kerajaan Negeri pada 21 Oktober tahun lalu.

Untuk projek pemajuan LRT itu, Wai Long memberitahu pihaknya merancang untuk menyempurnakan hasil Kajian Terperinci Impak Alam Sekitar (DEIA) dan Kajian Terperinci Impak Pembangunan (DID) serta Penilaian Impak Sosiao (SIA) dalam tempoh enam bulan, lalu menyerahkan laporan berwajib kepada Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar pada hujung bulan Jun.

Wai Long turut menjelaskan mengenai status firma perunding bagi projek pemajuan LRT serta cadangan tebus guna tanah berwajib.

TMP pula merupakan  projek pemajuan sistem trafik bersepadu yang meliputi pemajuan beberapa batang lebuh raya, termasuk dari Pulau ke Seberang Perai.

Selain LRT, pelan itu juga terdiri oleh pemajuan satu jajaran LRT serta dua monorail di bahagian Pulau, serta satu LRT lain merentasi laut ke tanah besar Seberang Perai.

Selain itu, satu lagi jajaran monoral lain serta sistem bas alihan cepat (BRT) turut akan diwujudkan di Seberang Perai.