Skip to main content

Jual tanah di P.Pinang untuk FDI, bukan langsai hutang macam 1MDB

CHOW Kon Yeow membentangkan kajian terperinci serta status pelaksanaan TMP yang terbaru, dalam tempoh 21 Oktober lalu hingga bulan Jun akan datang, dalam satu majlis bersama-sama wartawan di Komtar, George Town petang tadi.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Penjualan tanah bandar Malaysia kepada syarikat berkaitan dari China lebih dilihat untuk membiayai hutang tak terkawal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kira-kira RM42 bilion sahaja.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow memberitahu, Kerajaan Negeri menjual tanah kepada syarikat multinational dari seluruh dunia untuk tujuan pembinaan industri serta Pelaburan Langsung Asing (FDI) semata-mata.

"Pulau Pinang telah menarik perhatian syarikat-syarikat MNC dari seluruh dunia, bukan dari Amerika Syarikat sahaja

"Satu-satu syarikat yang mahu membina kilang, mereka perlu pastikan sebidang tanah, jika masih ada, maka tanah itu akan dijual, tetapi tujuan adalah khusus untuk pembinaan kilang.

"Itupun, dalam satu tempoh yang telahpun ditetapkan, kalau lebih dari tempoh yang ditetapkan itu, Kerajaan Negeri berhak mendapatkan balik tanah-tanah tersebut.

"Itu bukan perkara baru dan dilakukan sejak 50 tahun lalu lagi...ini sejajar dengan dasar perindustrian di Pulau Pinang," jelas Kon Yeow kepada wartawan di sini, petang tadi.

Menurut Kon Yeow, penjualan tanah berwajib kepada Jabil Circuit dari Amerika Syarikat dan Temasik Holdings Berhad dari Singapura pun sebenarnya untuk tujuan perindustrian semata-mata.

Penjelasan itu sekaligus menyanggap dakyah sebuah portal berita pro Umno, MyKMU, yang cuba menyamakan amalan menjual tanah oleh Kerajaan Negeri hari ini adalah sama dengan amalan Kerajaan Pusat, melalui 1MDB.

1MDB didedah memeterai suatu perjanjian jual beli dengan satu konsortium Iskandar Waterfront Holding Sdn Bhd (IWH) dan China Railway Engineering Corporation (CREC) bagi pegangan 60 peratus di dalam pembangunan Bandar Malaysia.

Daripada perjanjian itu, CREC akan mempunyai 40 peratus dari 60 peratus pegangan di dalam Bandar Malaysia (pegangan 24 peratus di dalam keseluruhan projek) iaitu satu bidang hartanah yang cukup bernilai dan strategik.

Bandar Malaysia kini sedang dibangunkan sebagai pusat pengangkutan utama negara yang baru dengan memusatkan keretapi laju Kuala Lumpur – Singapura (HSR), sistem MRT2 dan MRT3 di situ selain dari pembangunan hartanah.

Bagaimanapun, pentadbiran Dato’ Seri Najib Razak akan memberi alasan bahawa pegangan 24 peratus dari keseluruhan projek yang kini dimiliki oleh syarikat China itu adalah kecil.

Dianggap demi melangsaikan hutang, 1MDB sebelum ini turut didedah menjual aset penjanaan elektrik kepada sebuah lagi syarikat milik kerajaan China, walaupun penjualan itu bertentangan dengan dasar dan peraturan umum kerajaan Malaysia yang tidak membenarkan aset elektrik dikuasai oleh syarikat asing.