Skip to main content

Guan Eng harap Seberang Perai muncul sebagai destinasi eko-pelancongan serantau

KETUA Menteri menegaskan pripenting memulihara kehijauan Pulau Pinang, sungguhpun Seberang Perai kian dihambat oleh arus kemodenan seperti Bandaraya George Town.
HADIRIN daripada pelbagai bidang dan latar belakang profesional mengikuti ucaptama Ketua Menteri, sebelum dilangsungkan Forum Potensi Eko-Pelancongan Seberang Perai di Hotel The Light dekat Seberang Jaya baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB 

SEBERANG JAYA - Seberang Perai seperti kawasan hutan paya laut Kuala Bekah dekat Penaga sangat berpotensi dijadikan salah satu destinasi eko-pelancongan di rantau ini kerana dikunjung kira-kira 100 spesis burung hijrah (migratory bird) selama enam bulan tiap-tiap tahun.

Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng dalam ucapannya berharap Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) supaya terus meneroka serta membangunkan potensi sektor eco-tourism di ketiga-tiga daerah Seberang Perai, biar seiringan dengan kedudukan George Town Tapak Warisan Dunia UNESCO.

"Jika Bandaraya George Town dikenali dengan berbagai-bagai warisan tak ketara dan lebih penting adalah warisan ketara seperti monumen dan bangunan-bangunan tinggalan sejarah era kolonialisme, kita (Kerajaan Negeri) harap Seberang Perai suatu hari nanti dikenali sebagai destinasi eko-pelancongan paling menarik, khususnya bagi pencinta burung hijrah.

"Ini merupakan satu lagi simbol komitmen Kerajaan Negeri hari ini untuk pembangunan masa depan Seberang Perai seiringan dengan Pulau (Bandaraya George Town, sesuatu yang tidak dilakukan oleh Kerajaan Negeri atau Pusat sebelum ini (tahun 2008)," jelas Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam di Hotel The Light di sini, 14 Disember lalu.

MAIMUNAH Mohd. Sharif (empat dari kiri) menyerahkan tourist map Seberang Perai kepada Ketua Menteri (tiga dari kiri), sambil disaksikan oleh Dahalan Fazil, M. Satees dan P. David Marshall di sini baru-baru ini. 
Yang di-Pertua MPSP, Dato' Maimunah Mohd. Sharif, Harun Pilus (Pengarah Tourism Malaysia Pulau Pinang), Tan Coo Eng (Pengarah Malaysia Nature Society, Cawangan Pulau Pinang) dan Dr. Foong Swee Yeok (Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kaji Hayat, Universiti Sains Malaysia) turut sertai Forum Potensi Eko-Pelancongan Seberang Perai tersebut.

Hadir sama, beberapa Ahli Majlis MPSP lain, Dahalan Fazil, Rizal Hamid. M. Satees dan P. David Marshall.

Selain di Kuala Bekah, New Recreation Park Byram Estate dekat Seberang Perai Selatan (SPS) serta Hutan Pelajaran Air Itam Dalam dekat Lahar Yooi, Teluk Air Tawar dan Pantai Kuala Muda juga adalah destinasi eko-pelancongan yang seringkali dikunjungi pelancong asing dan tempat.

"Kawasan-kawasan ini juga menjadi destinasi persinggahan untuk beribu-ribu ekor burung yang terdiri dari beratus-ratus spesies pada setiap tahun.

"Pemerhati burung dari Jepun dan Korea juga sering melawat tempat-tempat ini untuk aktiviti memerhati burung," jelas Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih merangkap Ahli Parlimen Bagan.

Ujarnya, hasrat Kerajaan Negeri membangunkan industri eko-pelancongan ini bukan sahaja selari dengan hasrat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), malah sekaligus memulihara semula kemapanan flora dan fauna di negeri ini.

Pada tahun 2013, difahamkan, PBB antara meluluskan satu resolusi yang mengiktiraf peranan sektor eko-pelancongan dalam membasmi kemiskinan setempat serta memelihara alam sekitar.

ANTARA makalah di pameran eko-pelancongan di sini baru-baru ini.
Bercakap di pentas sama, Maimunah memberitahu MPSP sehingga kini telahpun menerbitkan tourist map, heritage trail dan coffee table book demi menonjolkan potensi Seberang Perai sebagai bandar pelancongan masa depan untuk Pulau Pinang.

Dalam terbitan-terbitan komersial itu, dimuatkan 10 kawasan sekitar Seberang Perai Utara (SPU) yang mempunyai potensi eko-pelancongan, iaitu di Pantai Bagan Ajam, Pantai Molek (lebih dikenali sebagai Pantai Robina, Taman Rekreasi Teluk Air Tawar, Pantai Bersih, Kuala Bekah, Kuala Penaga, Sungai Muda Sanctuary Park, Taman Rekreasi Pantai Kamloon, Bertam Vision Park serta Pusat Rekreasi Hutan Pelajaran Air Itam Dalam.

MAIMUNAH Mohd. Sharif (paling kiri) bersama-sama dua Ahli Majlis, Rizal Hamid (tiga dari kiri) dan P. David Marsheal (paling kanan) dan seorang staf MPSP melihat pameran eko-pelancongan di sini baru-baru ini.
Tambah Maimunah, pihaknya turut mengkaji potensi Pulau Aman dekat Seberang Perai Tengah (SPU) untuk diwajahkan semula sebagai destinasi eko-pelancongan negeri.

Informasi daripada CEO Ecotourism & Conservation Society of Malaysia (ECOMY) dipetik, industri eko-pelancongan dengan penekanan pada aspek melihat burung (bird watching) atau lebih dikenali sebagai aktiviti 'avitourism' adalah suatu industri yang berpotensi daripada segi ekonomi.

Menurut sumber itu, di United Kingdom umpamanya, terdapat terdapat lebih sejuta orang ahli dalam Royal Society for The Protection of Bird, dan terdapat 44 juta orang 'birdwatchers' yang aktif di Amerika.

Sumber itu turut mendedahkan aktiviti 'birdwatching' di USA, Canada dan Maxico menjana pendapatan sebanyak AS$25 bilion (RM120 bilion), serta memberi peluang kerjaya kepada lebih 60,000 orang.