Skip to main content

Guan Eng harap Pusat lulus TMP demi kepentingan nasional

KETUA Menteri semasa memberikan maklum balas mengeai isu TMP yang dibangkitkan oleh orang awam di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG PERAI - Demi kepentingan nasional, Kerajaan Pusat diharap meluluskan permohonan Kerajaan Negeri untuk merealisasikan Pelan Induk Pengangkutan (TMP) bernilai kira-kira RM27 bilion di Pulau Pinang.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata demikian pelan menangani masalah kesesakan trafik serta meningkatkan mutu pengangkutan awam secara bersepadu itu akan dilaksanakan mulai tahun 2017 hingga 2030, serta memberi manfaat kepada rakyat Malaysia di negeri ini sehingga tahun 2050.

"TMP dibiayai 100 peratus oleh Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat satu sen pun tak keluar (peruntukan).

"Sungguhpun dibiayai oleh Kerajaan Negeri melalui hasil tambak laut di Selatan (bahagian) Pulau, tetapi, kerana di bawah bidang kuasa Kerajaan Pusat, kita mesti dapat kelulusan mereka (Kerajaan Pusat).

"Kita (Kerajaan Negeri) harap, demi kepentingan rakyat dan nasional, walaupun Kerajaan Pusat tidak perlu keluarkan wang (peruntukan), mereka boleh berikan kelulusan," jelas Guan Eng.

Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam berkenaan berkata demikian pada Majlis Penerangan Awam Mengenai TMP Kepada JKKK dan Warga Seberang Perai di Kompleks Ibupejabat MPSP dekat Bandar Perda.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow, Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato' Maimunah Mohd Sharif serta Pegawai Komunikasi Korporat Konsortium SRS selaku rakan pelaksana projek (PDP) turut tampil sebagai panel dalam forum dua hala itu.

Hampir semua Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan menyertai majlis rundingan awam itu.

Selain mengadakan rundingan awam, difahamkan, Kerajaan Negeri melalui PDP mesti mendapatkan kelulusan Penilaian Impak Sosial (SIA) dan Kajian Terperinci Impak Alam (DEIA) serta kelulusan berwajib yang lain daripada agensi Persekutuan, sebelum memulakan kerja-kerja penambakan di kawasan tersebut.

Ini kerana, berdasarkan undang-undang, difahamkan, Kerajaan Negeri mesti mendapatkan kelulusan Kerajaan Pusat melalui Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN), jika projek tambak laut melebihi 100 hektar atau melibatkan 10,000 orang di negeri ini.


Selain itu, Guan Eng memberitahu, Kerajaan Pusat sejak Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri lagi pernah berjanji untuk membina jajaran transit aliran ringan (LRT) di bahagian Pulau, namun sehingga kini didakwa seperti "bertanam tebu di bibir".

Katanya lagi, di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini pun, janji untuk membina 20,000 unit rumah mampu milik dan monorel menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lalu masih belum ditunaikan sehingga sekarang.

Dalam perkembangan berasingan, ADUN Batu Maung, Dato' Abdul Malik Abul Kassim turut mengadakan majlis penerangan sama dengan semua anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) berwajib, serta lebih 120 nelayan pantai yang terbabit dengan cadangan projek tebus guna tanah di Batu Maung.

TMP terdiri oleh cadangan pemajuan beberapa jajaran LRT, monorel di bahagian Pulau dan Seberang Perai, beberapa batang lebuh raya di bahagian Pulau, terowong bawah dasar laut dari bahagian Pulau merentasi Seberang Perai, sistem bas aliran cepat (BRT) di Seberang Perai dan sebagainya.

Pemajuan jajaran LRT dari Komtar ke Bayan Lepas serta Pan Island dari Pulau merentasi laut ke Seberang Perai merupakan antara cadangan projek yang diutamakan oleh Kerajaan Negeri, jika permohonan tebus guna tanah berwajib diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan.