Skip to main content

Guan Eng harap pelancong sedunia kenang tandas bersih di Pulau Pinang

(Dari kiri) DR. Afif Bahardin, Lim Hock Seng, Maktar Shapee, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan Maimunah Mohd. Sharif pada acara gimik perasmian sempena Majlis Sambutan Hari Tandas Sedunia 2015 Peringkat Negeri di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Selepas George Town diiktiraf di kedudukan keempat dari 10 bandar terbaik untuk dikunjungi pada tahun 2016 dalam senarai Lonely Planet beberapa bulan lalu, Lim Guan Eng berharap usaha Kerajaan Negeri mewujudkan kondisi tandas bersih di negeri ini akan turut dikenang oleh pelancong Pulau Pinang kelak.

Ketua Menteri dalam ucapannya berkata, beliau sendiri pernah mendapat maklum balas daripada seorang pelancong tempatan yang pernah menggunakan tandas awam Pasar Air Itam, dalam satu program di Johor Bharu baru-baru ini.

"Saya ada bertanya pernah sampai ke Bukit Bendera, dia masih berkata dia masih tidak boleh lupa tentang kebersihan tandas awam di Pasar Awam Air Itam itu.

"Kita (rakyat) perlu ingat sekiranya Pulau Pinang ingin berjaya menjadi sebuah negeri yang bertaraf antarabangsa dan pintar, maka taraf tandas juga mesti bertaraf antarabangsa," jelas Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih semasa merasmikan Majlis Sambutan Hari Tandas Sedunia 2015 Ke-4 di Dewan Bandaran Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di sini, 10 Disember lalu.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow, Dr. Afif Bahardin (Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan merangkap ADUN Seberang Jaya), Lim Hock Seng (Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti merangkap ADUN Bagan Jermal), Dato' Maktar Shapee (Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang merangkap ADUN Sungai Bakap) dan Dato' Maimunah Mohd. Sharif (Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai, MPSP) turut hadir pada majlis tersebut.

Sebelum itu, Kon Yeow memberitahu Pulau Pinang mungkin merupakan satu-satunya negeri yang konsistan menyambut sambutan Hari Tandas Sedunia tiap-tiap tahun, sebagaimana disyorkan oleh World Toilet Organization (WTO) pada tanggal 19 November.

"Kita (Kerajaan Negeri) mahu mewujudkan Pulau Pinang Bersih, Hijau, Selamat dan Sihat, dengan 'Tandas Bersih, Rakyat Selesa dan Pulau Pinang Sejahtera' dikekalkan sebagai tema (peringkat) negeri.

"Itulah sebabnya Kerajaan Negeri Pulau Pinang masih meneruskan sambutan Hari Tandas Sedunia serta mengadakan beberapa kategori pertandingan tandas terbersih sehingga sekarang," jelas Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota.

BARISAN johan semua kategori Pertandingan Tandas Bersih 2015 Peringkat Negeri Pulau Pinang turut merakamkan gambar bersama, selepas acara penyampaian hadiah penghargaan di sini baru-baru ini.
Justeru, Guan Eng dan Kon Yeow masing-masing merakamkan penghargaan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Jabatan Pelajaran Negeri Pulau Pinang dan Quality Restroom Association of Malaysia (Q-RAM) Pulau Pinang kerana banyak membantu Kerajaan Negeri dalam menjayakan kempen serta pertandingan tandas bersih peringkat negeri.

Pertandingan kali ini menyaksikan tandas awam Kompleks Makanan Taman Sentosa dipilih sebagai johan kategori Pihak Berkuasa Tempatan, Petron ISM Retail (johan kategori stesen minyak), A Tu Z Wedding House Sdn. Bhd. (johan kategori Kedai Makan), Vino Nino Bistro (johan kategori restoran), Gurney Plaza (johan kategori pasar raya), S.M.K. Convent Bukit Mertajam (johan kategori sekolah menengah), Sekolah Kebangsaan Bertam Perdana (johan kategori sekolah rendah) dan Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang (kategori Jabatan Kerajaan).

Hari Tandas Sedunia kembali diraikan di negeri ini pada tahun 2012.