Skip to main content

Dividen ASB rendah gamit pelabur tarik diri kerana bank didakwa lebih untung

Gambar hiasan.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB 

GEORGE TOWN - Dividen Amanah Saham Bumiputera  (ASB) diumumkan pada kadar 7.25 peratus dengan bonus serendah 50 sen seunit mendorong segelintir pelabur mahu mengeluarkan dana masing-masing, lapor sumber bank konvensional hari ini. 

Menurut sumber, pelanggan khususnya mereka yang membuat pinjaman peribadi untuk pelaburan ASB merasakan bahawa pihak bank lebih untung apabila pentadbiran Perdana Menteri mengumumkan deviden yang rendah baru-baru ini. 

"Dividen tahun ini (2015) adalah 7.25 peratus, dengan bonus 0.5 peratus.

"Untung atas pinjaman lebih kurang 2 peratus, sedangkan caj (interest) yang dikenakan bank untuk pinjaman untuk pelaburan ASB adalah 5.2 peratus.

"Ertinya bank akan lebih untung berbanding jumlah yang diperolehi pelabur ASB, apabila kadar dividen diumumkan rendah," jelas sumber yang juga pelabur ASB pada awal pagi tadi di Komtar, George Town pagi tadi.

Suatu sumber lain memberitahu, menarik pelaburan atas pinjaman bank juga sebenarnya merugikan pelabur ASB itu sendiri.

"Tapi, kalau batal balik perjanjian semua bayaran 2 tahun sebanyak RM30,000 dari potongan bulanan umpamanya, interest keuntungan ASB peminjam akan hilang 50 peratus, iaitu RM15,000 saja akan dapat balik.

"Sebenarnya pelabur mempunyai hak untuk mengeluarkan wang masing-masing, tetapi bank tertentu menyukarkan proses itu atas sebab tersendiri," jelas pemberi maklumat kedua dalam interbiu berasingan di George Town.

Satu lagi sumber memberitahu, sebuah bank di Seberang Jaya turut berdalih dengan pelbagai birokrasi apabila beliau mahu mengeluarkan simpanan pelaburan bukan hutang ASB baru-baru ini. 

Pengerusi Pertubuhan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) Pulau Pinang, Zolkifly Md. Lazim dalam reaksi spontan memberitahu bahawa dividen yang rendah melambangkan ekonomi negara sedang menghadapi era yang mencabar.

"Jika sekarang ini, ekonomi Malaysia stabil dan tidak menghadapi era yang mencabar, tidak mungkin Perdana Menteri Dato' Mohd. Najib Tun Razak tidak mengumumkan hasrat untuk menyusun semula Bajet 2016 selepas diluluskan hujung tahun lalu.

"Bajet 2016 akan disusun semula kerana anggaran pendapat yang dijangka di luar pencapaian dan ekonomi yang kian mencabar ini mengakibatkan pentadbiran Najib tidak boleh melakukan apa yang  dirancang sebelum ini. 

"Ekonomi yang kian mencabar ini turut memberi pengaruh pada bank-bank konvensional akan menurunkan kadar faedah masing-masing, bukan ASB atau ASN  (Amanah Saham Nasional) sahaja.

"Ini kerana, sesebuah Kerajaan lebih menggalakkan rakyat berbelanja daripada menyimpan, ketika ekonomi pada saat mencabar.

"Ini, biasa dilakukan oleh mana-mana kerajaan yang mahu melambatkan krisis ekonomi ke peringkat krisis politik," jelas Zolkifly yang juga Pengasas Muslim Economy Culture Affair (MECA).