Skip to main content

Tolak usul tangguh tebus guna tanah demi elak Kerajaan P.Pinang bankrap, tegas Guan Eng lagi

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Jika usul pembangkang untuk menangguhkan projek tebus guna tanah yang diluluskan oleh pemimpin Barisan Nasional semasa menguasai Pulau Pinang dahulu disokong oleh majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada 20 November lalu, Kerajaan Negeri Pakatan Harapan hari ini akan berdepan risiko bankrap kerana terpaksa membayar pampasan besar kepada pemaju berwajib.

Justeru, Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng mempertikai seorang ADUN DAP serta lima ADUN PKR yang bertindak tidak menolak usul itu, sebagaimana dilakukan oleh 23 ADUN Pakatan Harapan lain.

"Adakah Lim Guan Eng mahu dikenang sebagai orang yang membiarkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang menjadi bankrap berikutan terpaksa membayar pampasan besar kerana menghentikan projek-projek tebus guna tanah yang diluluskan oleh Kerajaan Barisan Nasional dahulu, yang hanya menguntungkan kroni-kroni BN.

"Saya tidak percaya bahawa saya dipilih oleh rakyat untuk membiarkan Pulau Pinang menjadi bankrap.

"Lebih baik saya dikritik daripada dipuji,  asalkan saya dapat memastikan Pulau Pinang tidak bankrap, malah dapat terus meningkatkan lebihan hasil ekonomi untuk membolehkan kita melabur dalam pembinaan infrastruktur awam,  pendidikan dan inovasi," tegas Guan Eng kepada wartawan di sini, 21 November lalu. 

ADUN Air Putih itu memberitahu bahawa beliau tidak kisah dengan kritikan seorang kolumnis Malaysiakini baru-baru ini berhubung tindakan ADUN Tanjung Bunga, Teh Ye Cheu (DAP) memberi undi pada usul yang dikemukakan oleh seorang ADUN UMNO, Sr. Mohamed Farid Saad (ADUN Pulau Betong) dalam blok BN.

Kolumnis terbabit turut menyokong tindakan "berkecuali" yang dilihat seakan tidak menyokong Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang, oleh lima ADUN PKR terbabit.

Mereka, ADUN Bukit Tengah, Ong Chin Wen, Dr. Norlela Ariffin (Penanti), Cheah Kah Peng  (Kebun Bunga), Dr. T. Jayabalan  (Batu Uban) dan Lee Khai Loon (Machang Bubuk).

"ADUN DAP, Teh (Yee Cheu) telah pun mengaku kesilapannya dan memohon maaf kepada parti... beliau rela menerima apa sahaja tindakan daripada parti berikutan kesilapannya dan kini sedang menanti tindakan disiplin.

"Tidak ada seorang pun daripada ADUN PKR (yang) mengambil keputusan itu bangun untuk membahaskan usul tersebut.

"Mereka juga tidak memberitahu Kerajaan Negeri atau mana-mana empat pemimpin utama PKR Negeri, iaitu Timbalan Speaker (DUN) Dato' Maktar Shapee  (ADUN Sungai Bakap), Timbalan Ketua Menteri I, Dato' Mohd. Rashid Hanson (ADUN Pantai Jerejak), serta Exco-Exco Kerajaan Negeri, Dato' Abdul Malik Abul Kassim dan Dr. Afif Bahrain. 

"Sebaliknya, Ketua Whip PKR, Ong Chin Wen hanya memberitahu seorang pemimpin kebangsaan PKR tentang niat berkecuali, tetapi tidak pula memberitahu Exco-Exco PKR atau Timbalan Ketua Menteri I, seolah-olah ia adalah undi tidak percaya beliau terhadap pemimpin PKR Negeri.

"Menolak usul Umno tersebut (oleh 23 ADUN Pakatan Harapan) juga memperlihatkan pendirian kami yang tidak setuju dengan keputusan BN meluluskan 3,241 ekar tanah untuk tebus guna," tegasnya Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam.

Selain itu, kolumnis Malaysiakini terbabit antara lain dilaporkan bertanya mengenai pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang pernah meminta BN menghormati hak dua ADUN MCA yang berkecuali dalam usul DAP oleh Danny Law (Heng Kiang yang kini ADUN Batu Lanchang), tetapi Guan Eng didakwa tidak boleh menghormati hak lima ADUN PKR untuk berkecuali dalam isu usul Umno baru-baru ini. 

Mengulas mengenai kritikan kolumnis itu, Guan Eng menegaskan bahaw konteks kedua-duanya isu tersebut jelas adalah berbeza.

Katanya, "berkecuali" dua ADUN MCA terbabit kerana membantah projek Lingkaran Jalan Luar Pulau Pinang  (PORR) bernilai RM1 bilion yang dicadangkan oleh Kerajaan BN mereka sendiri, serta berbeza dengan konteks usul yang dikemukakan Umno baru-baru ini. 

"Perbezaan antara PORR dan tebus guna tanah (yang dipertikai sekarang) adalah PORR belum dimuktamadkan dan tidak pernah dibina sehingga hari ini,  sedangkan projek-projek tebus guna tanah (yang mahu ditangguhkan oleh ADUN UMNO ini) telah diluluskan dan dimuktamadkan oleh (Kerajaan Negeri era) BN.

"Sekarang, usul Umno mencadangkan supaya ditangguhkan tebus guna tanah yang diluluskan oleh BN yang akan mengakibatkan pampasan dibayar oleh Kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang,  bukan oleh BN.

"Ini sangat tidak adil dan inilah sebabnya mengapa 23 ADUN Pakatan Harapan menolak usul Umno itu," tegas Guan Eng lagi.

Terdahulu, Pengerusi Biro Penyelaras Ahli Parlimen & ADUN PKR, Datuk Johari Abdul berpendapat bahawa tindakan "berkecuali" kelima-lima ADUN mereka hanya bersifat pengundian mengikut suara hati (conscience vote) atas niat memulihara alam sekitar, bukannya partisan sebagaimana digambarkan oleh Guan Eng.

Guan Eng dalam reaksi spontan berkata, PKR  kemungkinan tidak mendapat gambaran yang sebenar mengenai risiko bankrap yang terpaksa ditanggung oleh Kerajaan Negeri susulan tindakan kelima-lima ADUN terbabit.

Lagipun, tegas Guan Eng, kelima-lima ADUN terbabit seakan bertindak sendiri, memandangkan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali dilaporkan mengaku bahawa pemimpin parti peringkat pusat tidak dimaklumkan lebih awal mengenai aksi mereka terbabit.

6 November lalu, Guan Eng semasa membentangkan Bajet 2016 Pulau Pinang antara lain mendedahkan Kerajaan Negeri hari ini hanya meluluskan tebus guna tanah seluas 60 ekar sahaja, berbanding 3,241 ekar yang diluluskan pada era BN menguasai Pulau Pinang sebelum tahun 2008 dulu.

Guan Eng menjelaskan  hanya 744 ekar telah pun ditebus guna, sehingga kini.

Tambah beliau, menangguh pelaksanaan tebus guna tanah selebihnya seperti yang akan dilaksanakan oleh pemaju E&O di Tanjung Pinang, boleh mengakibatkan Kerajaan Negeri hari ini terpaksa membayar pampasan sehingga RM1 bilion. 

Mohamed Farid dalam sesi penggulungan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini pada 20 November lalu mengemukakan usul supaya menangguh baki projek tebus guna tanah itu, tanpa melafazkan permohknan maaf atas tindakan Kerajaan Negeri era BN dahulu meluluskan tebus guna 3,241 ekar tanah tersebut.

Yee Cheu menyokong usul pembangkang itu, manakala kelima-lima ADUN terbabit mengambil sikap berkecuali.

Guan Eng dalam reaksi spontan menganggap tindakan keenam-enam ADUN Pakatan Harapan berkenaan boleh mengakibatkan Kerajaan Negeri hari ini berdepan risiko bankrap.