Skip to main content

Saguhati RM398,406 hargai 975 pentadbir makmur masjid kariah, kata Mohd. Salleh Man


MOHD. Salleh Man (dua dari kiri) diiringi Azman Abdul Samat (paling kiri) menyerahkan saguhati pentadbiran kepada salah seorang penerima, sambil disaksikan oleh Abdul Halim Hussain (tiga dari kiri) dan Wan Salim Wan Mohd. Noor (paling kanan) di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG JAYA - Peruntukan saguhati pengurusan sebanyak RM398,406 daripada sumber zakat diserahkan kepada 975 penerima mewakili 203 kariah masjid baru-baru ini.

Yang di-Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang  (MAINPP), Dato' Mohd. Salleh Man berharap saguhati itu menggandakan lagi mutu tadbir urus pengurusan kariah masjid di negeri ini.

"MAINPP telah bersetuju untuk memberi saguhati kepada empat jawatan tertinggi, iaitu RM600 kepada pengerusi dan setiausaha (Jawatankuasa) Kariah Masjid, manakala RM400 untuk timbalan pengerusi dan bendahari.

"Dengan sumbangan ini, kita (MAINPP) bukan sahaja mengharapkan mutu pentadbiran di peribgkat kariah dan masjid bertambah makmur, malah menggalakkan lagi umat membayar zakat yang wajib ini melalui Zakat Pulau Pinang (ZPP)," jelas Mohd. Salleh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir pada Majlis Serahan Saguhati Pengurusan Masjid Kariah 2015 di Dewan SP Arena di sini.

Pengurus Besar ZPP, Azman Abdul Samat turut berucap pada majlis tersebut.

Hadir sama, Mufti Negeri Pulau Pinang, Sohibus Samahah Dato' Dr. Wan Salim Wan Mohd. Moor dan Dato' Abdul Halim Hussain (Timbalan Yang di-Pertua MAINPP).

Mohd. Salleh memberitahu, MAINPP melalui ZPP senantiasa meningkatkan mutu pelanggan, antaranya gigih menjejaki golongan asnaf terpilih untuk diserahkan sumbangan berwajib daripada  sumber zakat sepanjang tahun.

Ini, katanya lagi, termasuk sumbangan pakaian serta kelengkapan sekolah yang disumbangkan kepada murid-murid menjelang musim 'Kembali Ke Sekolah' pada hujung tahun ini. 

Perkembangan terbaru ini sekaligus menyerlahkan komitmen Kerajaan Negeri melalui MAINPP dalam memperbaiki keperluan umat Islam di negeri ini.