15 December 2015

Rundingan awam dengan nelayan isu tambak laut diteruskan, respons ADUN Batu Maung

KAWASAN yang dianggap terbabit dalam projek tambakan di Permatang Damar Laut nanti.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri akan terus mengadakan rundingan awam dengan nelayan-nelayan pantai di sekitar Permatang Damar Laut, sehinggalah syarikat tersebut, Konsortium SRS mendapat kelulusan Penilaian Impak Sosial (SIA) dan Kajian Terperinci Impak Alam (DEIA) bagi memulakan kerja-kerja penambakan di kawasan tersebut.

ABDUL Malik Abul Kassim
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Dato' Abdul Malik Abul Kassim berkata demikian semasa diminta menjelaskan mengenai rundingan awam pada 9 Disember lalu, yang membabitkan kira-kira 120 nelayan terbabit.

Difahamkan, rundingan awam itu selepas Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) meminta Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng memberikan penjelasan kepada penduduk setempat berhubung kerja-kerja mengukur, menanda kawasan serta menggali dasar laut di kawasan tersebut baru-baru ini.

"Proses (rundingan awam) dengan nelayan ini sudah bermula dan akan diteruskan.

"Kita sebagai Kerajaan Negeri akan memberikan penjelasan," jelas Abdul Malik yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pada sidang media di sini, petang tadi.

Menurut beliau, nelayan yang menyertai rundingan awam baru-baru ini rata-rata menerima tujuan asal rancangan tebus guna tanah tersebut, iaitu melaksanakan Pelan Pengangkutan Induk (TMP) ke arah menangani masalah kesesakan trafik pada masa hadapan di negeri ni.

Bagaimanapun, beliau memberitahu bahawa Kerajaan Negeri masih belum memuktamadkan pertimbangan berhubung tuntutan nelayan agar mereka dipindahkan ke lokasi lain, bagi tujuan melaksanakan aktiviti penangkapan ikan.

Justeru, katanya lagi, Kerajaan Negeri akan memberi perhatian pada perkara-perkara yang dibangkitkan oleh nelayan-nelayan pantai, antaranya termasuk isu pendapat mereka kemungkinan terjelas jika projek penambakan laut tersebut dilaksanakan kelak.

"Kita akan mendengar dan memberi perhatian pada rintihan mereka dan mengambil tindakan sususlan untuk menangani rintihan mereka," jelas Abdul Malik, sambil menjelaskan bahawa amalan tebus guna tanah bukanlah perkara baru di negeri ini.

Terdahulu, Kerajaan Negeri era Barisan Nasional sebelum 2008 ada meluluskan beberapa projek penambakan laut kira-kira 3,241 ekar tanah kepada syarikat pemaju tertentu, manakala, 60 ekar projek tebus guna tanah lain diluluskan oleh pentadbiran Guan Eng.

Sehingga kini Kerajaan Negeri masih tidak memperincikan lokasi-lokasi projek penambakan laut kepada para pemaju berkenaan.

14 Ogos lalu, Konsortium SRS dipilih sebagai 'Rakan Pelaksana Projek' (PDP) bagi TMP, dengan cadangan projek tambakan laut di Permatang Damar Laut sebagai "balasan faedah" bagi membiayai kos keseluruhan projek pengakutan demi menangani kesesakan trafik di negeri ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow dalam sidang media berasingan turut mengulas mengenai Kerajaan Negeri didesak supaya membatalkan projek penambakan di Permatang Damar Laut.

"Kita (Pulau Pinang) tidak mempunyai sumber asli seperti balak untuk membiayai kos TMP ini serta tiada sokongan dana daripada Kerajaan Pusat.

"Maka, projek tebus guna tanah yang diluluskan ini adalah bertujuan untuk menyelesaikan cabaran tarfik yang begitu sesak sekarang dan pada masa hadapan.

"Jika mana-mana pihak ada cadangan yang lebih baik daripada kaedah tebus guna tanah untuk membiayai kos TMP ini, dipersilakan kemukakan (syor) kepada Kerajaan Negeri," jelas Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus