01 December 2015

Risiko banjir boleh dikurangkan, Jagdeep Singh Deo gesa Pusat segera lulus RM450 juta

JAGDEEP diiringi oleh beberapa pemimpin penduduk setempat menunjukkan kawasan yang sepatutnya dimulakan kerja-kerja mendalamkan Sungai Pinang di sini, pagi tadi.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SUNGAI PINANG - Di sebalik kejadian banjir yang melanda beberapa kawasan di Pulau Pinang baru-baru ini, Jagdeep Sing Deo berharap Kerajaan Pusat jangan memungkiri janji mereka untuk meluluskan peruntukan bagi kerja-kerja pelebaran serta mendalamkan beberapa batang sungai di negeri ini.

Menurut Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan itu, peruntukan sebanyak RM450 juta yang dinyatakan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) sepatutnya diluluskan sekarang, memandangkan  memandangkan Kerajaan Negeri hari ini berjaya mengosongkan kawasan tebing di sepanjang muara sungai tersebut untuk tujuan projek pembangunan berwajib.

Kesemua tujuh projek yang dinyatakan dalam RMK-11 untuk mengurangkan risiko banjir di negeri ini menelan belanja RM805.4 juta.

“Negeri Pulau Pinang terpaksa merana kerana ada banjir dan kita tahu ada rancangan-rancangan tebatan banjir, jadi saya minta Kerajaan Persekutuan segerakan kelulusan terutama kes di Sungai Pinang.

“Ini, dia (Kerajaan Pusat) minta kita buat (proses memindahkan penduduk dari tebing Sungai Pinang), apabila kita berjaya buat, tiba-tiba dia kata tak lulus.

“Sekarang, kita (Kerajaan Negeri) menunggu dana peruntukan daripada Kerajaan Pusat untuk kerja-kerja dimulakan, tegas Jagdeep pada pagi tadi, sebelum membawa wartawan meninjau kawasan cadangan projek pemajuan tersebut di sini.

Katanya, Kerajaan Negeri sejak tahun 2008 lagi mengambil risiko berunding dengan 223 penduduk setempat bagi memindahkan keluar 101 struktur binaan pelbagai jenis dari sini demi menjayakan projek berkepentingan awam tersebut.

Selain itu, Jagdeep menegaskan banjir kilat di beberapa kawasan seperti di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bayan Lepas pada 29 November lalu pun boleh dikurangkan risikonya, jika Kerajaan Pusat segera meluluskan peruntukan yang dijanjikan untuk rakyat Pulau Pinang ini.

“Saya tak minta sebab (peruntukan ini masih belum diluluskan) kerana ini adalah janji (yang dinyatakan dalam RMK-11)

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dato' Keramat itu memberitahu, dalam suatu surat Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak pada 9 Oktober lalu seakan menggambarkan Kerajaan Pusat enggan meluluskan peruntukan berwajib tersebut.

“Ketua Menteri menerima surat kerana dia telah mengumumkan pengumuman di dalam Dalam Dewan Undangan Negeri (Pulau Pinang) bahawa (projek-projek tersebut) tidak diluluskan,” tegas Jagdeep.

Berdasarkan surat tersebut, Guan Eng antara lain memohon Najib meluluskan peruntukan berwajib, susulan berlakukan bencana banjir kilat di beberapa kawasan di negeri ini pada 23 September lalu.

Guan Eng yang juga ADUN Air Putih merangkap Ahli Parlimen Bagan turut menjelaskan bahawa Rancangan Pemuliharaan Sungai (ROL) dan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Sungai Pinang merupakan salah satu daripada tujuh projek seumpamanya yang disenaraikan dalam RMK-11.

Enam projek lain adalah di Sungai Juru yang menelan belanja RM80 juta, Sungai Jawi (RM40 juta), Sungai Perai RM35 juta), RTB Bayan Lepas (RM153 juta), RTB Sungai Perai (RM35.4 juta) dan RTB Sungai Kechil (RM12 juta).

Ekoran itu, Guan Eng berharap, semua permohonan peruntukan yang dikemukankan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang dapat segera diluluskan oleh pihak Najib, demi faedah rakyat di negeri ini.

Jagdeep memberitahu, beliau sendiri ada menulis surat rasmi kepada Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar untuk memohon Kerajaan Pusat segera meluluskan peruntukan projek-projek tersebut untuk Pulau Pinang.

“Kita mahukan komitmen, berikan garis masa dan tempoh masa secara terperinci mengenai pelaksanaan semua projek-projek yang dijanjikan ini,” tegas Jagdeep.

Daripada empat fasa kerja-kerja pelebaran dan mendalamkan Sungai Pinang, difahamkan, fasa pertama di bahagian muara sungai itu telahpun dilaksanakan.

Jika peruntukan RM450 juta ini diluluskan oleh Kerajaan Pusat, Jagdeep memberitahu bahawa fasa kedua yang dianggap memberi impak paling besar kerana membabitkan beberapa kawasan kerap banjir sehingga ke pekan Air Itam boleh dilaksanakan sekarang.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus