Skip to main content

Program Santai Rakyat dekatkan pemimpin, komuniti, kata Mohd. Rashid Hasnon di Penanti

TIMBALAN Ketua Menteri I turut merakamkan gambar dengan pasukan tarik tali Mengkuang Titi, dengan gaya santai ala-ala pemain ragbi kebangsaan Zealand All Black di sini, semalam.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

PENANTI - Siri-siri Program Santai Rakyat yang dianjurkan sepanjang tahun ini, dengan meliputi kelima-lima daerah supaya pemimpin negeri boleh terus mendekati komuniti setempat.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato' Mohd. Rashid Hasnon berkata demikian semasa merasmikan Program Santai Rakyat Peringkat Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) di sini, semalam.

"Semua program yang dianjurkan pada pagi ini (11 Disember 2015) benar-benar santai, kerana komuniti mahu program santai sebegini di sini.

"Tuan program ini diadakan antara lain supaya pemimpin boleh saling berinteraksi dengan rakyat setempat di sini, mengenai rancangan pembangunan yang dilaksanakan di negeri ini," jelas Mohd. Rashid pada majlis yang dilangsungkan di Padang Homestay Mengkuang Titi.

Exco Pembangunan Industri, Perdagangan Antarabangsa, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Perhubungan Masyarakat tersebut turut memberi penjelasan mengenai rancangan pembangunan yang telahpun dilaksanakan serta akan diusahakan oleh Kerajaan Negeri bagi kawasan Parlimen Permatang Pauh, khususnya di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Penanti.

Hadir sama, Pegawai Daerah SPT, Zulkifli Long serta Zainon Saad (Pegawai Khas bagi Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail).

Seawal jam 8.00 pagi lagi, lebih 20 wanita menyertai senam robik dan tarian zumba di sini.

Turut dilangsungkan, pelbagai acara sukan rakyat lain, antaranya, lari dalam guni, sambut belon berair, berbasikal lambat, boling padang, tarik tali serta pertandingan mewarna, ukiran atas buah tembikai dan mengubah bunga.

Polis, Pasukan Bomba dan Penyelamatan (Bomba), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Perpustakaan Pulau Pinang, gabungan Klinik-Klinik Kesihatan SPT antara agensi kerajaan yang mengadakan pameran di sini.

Seekor lembu "ditumbangkan" untuk kenduri rakyat, dengan dimasak secara gotong-royong.


Gambar lanjut, klik di sini.