Skip to main content

'Lampu hijau' supaya SRS runding TMP dengan SPAD – Kon Yeow

(Dari kiri) LIM Guan Eng, Chow Kon Yeow, Jagdeep Singh Deo dan LIm Hock Seng mencermati jajaran-jajaran TMP pada peta Pulau Pinang, selepas sidang media di sini petang tadi.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – 'Lampu hijau' yang diberikan oleh Kerajaan Negeri pada hari ini membolehkan Konsortium SRS selaku rakan penyampai projek (PDP) untuk berunding serta mendapatkan kelulusan Pelan Induk Pengangkutan (TMP) berwajib daripada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata demikian kepada wartawan, selepas selesai suatu Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri dengan wakil Konsortium SRS.

"Dengan 'lampu hijau' ini, SRS diberikan kebenaran untuk membentangkan (TMP) kepada SPAD...dengan tujuan untuk mendapatkan kelulusan pada akhirnya (daripada Kerajaan Pusat)," jelas Kon Yeow yang juga Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Pulau Pinang (PTC) di sini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, Lim Hock Seng (Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti) serta Jangdeep Singh Deo (Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan) turut sertai sidang media itu.

Difahamkan, Kerajaan Negeri pada hari ini meluluskan skim pengangkutan awam atas landasan dan skim pemajuan lebuh raya secara bersepadu, meliputi bahagian pulau dan bahagian Seberang Perai.

Skim pengangkutan awam atas landasan (railway scheme) terdiri oleh satu jajaran transit aliran ringan (LRT) serta dua monorail di bahagian Pulau, serta satu LRT lain merentasi laut ke tanah besar Seberang Perai.

Skim tersebut juga terdiri oleh satu lagi jajaran monoral serta mewujudkan sistem bas alihan cepat (BRT) di Seberang Perai.

Satu lagi skim adalah mengenai pemajuan beberapa jajaran lebuh raya secara bersepadu (highway scheme) di bahagian Pulau ke Seberang Perai, demi menangani kesesakan tarfik kenderaan pada waktu puncak.

"Secara khususnya, satu adalah railway scheme, kedua adalah highway scheme (dan) kelulusan ketiga yang diberikan adalah fasa pertama yang kita (Kerajaan Negeri) ini melaksanakan jajaran LRT dari Komtar ke Bayan Lepas," jelas Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.

Tambah beliau, projek Island Link juga adalah satu lagi projek yang diutamakan oleh Kerajaan Negeri, sama seperti jajaran LRT Komtar-Bayan Lepas.

Bercakap pada sidang media sama, Pengarah Projek TMP daripada Konsortium SRS, Szeto Wai Long memberitahu proses mendapatkan kebenaran berwajib daripada SPAD adalah dalam tempoh setahun, dan kerja-kerja pembinaan dijadual bermula pada tahun 2017.

Katanya, Konsortium SRS sebelum sidang media ini telahpun membentangkan secara terperinci mengenai kaedah serta proses mendapatkan kelulusan berwajib daripada agensi-agensi persekutuan, termasuk SPAD.

TMP yang dianggarkan menelan belanja RM27 bilion akan dilaksanakan oleh Konsortium SRS sehingga tahun 2030, demi menangani masalah kesesakan trafik pada masa hadapan di negeri ini.

Pada majlis berasingan, Guan Eng memberitahu bahawa penempatan yang terjejas disebabkan pelaksanaan TMP nanti akan diberi perhatian oleh Kerajaan Negeri.

Ini kerana , katanya, rundingan awam dengan penduduk setempat serta kelulusan Penilaian Impak Sosial (SIA) dan Kajian Terperinci Impak Alam (DEIA) mesti diperoleh terlebih dahulu, sebelum memulakan kerja-kerja pelaksanaan TMP ini.

“Kita (Kerajaan Negeri) memberi jaminan bahawa Kajian Terperinci Kesan terhadap Alam Sekitar (DEIA) akan diambil kira bagi memastikan aspek alam sekitar sedia ada tetap terpelihara dengan baik termasuk aspek maritim," jelas Guan Eng.