Skip to main content

"Kontrak Komuniti" lebih murah, kata YDP MPSP

MAIMUNAH Mohd. Sharif (empat, dari kanan), Aloyah Bakar (tiga, dari kanan) dan Mohd. Asri Othman (tengah) bergambar bersama penduduk Pangsa PPR pada Majlis Pelancaran Kontrak Komuniti Program Pembersihan, Penubuhan Pejabat Persatuan Penduduk di Dewan Orang Ramai PPR Ampangan, Ampang Jajar di sini, baru-baru ini.

PERMATANG PAUH – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) hanya RM5,453 sahaja dibelanjakan tiap-tiap bulan selepas kontrak komuniti kepada Persatuan Penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Ampangan diluluskan di sini baru-baru ini.

Yang di-Pertua MPSP, Dato' Maimunah Mohd. Sharif berkata, tender komuniti itu lebih murah berbanding RM30,000 yang terpaksa dibayar kepada satu pihak kontraktor yang dipilih secara tender terbuka sebelum ini.

"Sebagai inisiatif bagi mengurangkan perbelanjaan kos pembersihan dan kerja-kerja penyelenggaraan di Pangsa PPR Ampangan, kita (MPSP) menanggung sebanyak RM30,000 sebulan bagi kos penyelenggaraan dan pengurusan demi memberi keselesaan dan kemudahan kepada penyewa," kata Maimunah kepada wartawan di sini baru-baru ini.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Kontrak Komuniti Program Pembersihan, Penubuhan Pejabat Persatuan Penduduk di Dewan Orang Ramai PPR Ampangan.

Hadir sama, Ketua Pengawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Aloyah Bakar dan Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Ampangan, Mohd. Asri Othman.

Maimunah memberitahu, MPSP sebelum ini turut membiayai beberapa kos penyelenggaraan bangunan, seperti RM180,000 untuk membaiki lif dan RM79,800 untuk membaiki kebocoran tangki air.

Sebelum itu, Maimunah mengumumkan penubuhan Persatuan Penduduk PPR Ampang tersebut.

Beliau berharap penubuhan persatuan penduduk itu membolehkan para penyewa menjaga rumah masing-masing dari segi pembersihan kawasan dan juga kehijauan kediaman mereka.

"Penubuhan persatuan tersebut bagi menggantikan tugas yang dikendalikan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

"Ini memberi manfaat kepada 250 unit penyewa rumah PPR di sini dengan membuka peluang pekerjaan dan banyak lagi," katanya.

Difahamkan, projek kontrak komuniti ini merupakan projek bersama MPSP dengan Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), 1 Januari 2015 sehingga 31 Disember 2016.