Skip to main content

Kerja tambak laut 4,100 ekar dilaksanakan esok jika Pusat lulus, Kon Yeow sindir BN

CHOW Kon Yeow tersenyum sambil memberi reaksi pada beberapa kenyataan pemimpin Umno Barisan Nasional.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Kerja-kerja tambakan laut seluas 4,100 ekar akan dilaksanakan di Pulau Pinang esok jika Kerajaan Pusat meluluskan permohonan projek tebus guna tanah ini pada hari ini, sindir Chow Kon Yeow.

Katanya, menyanggah tuduhan pembangkang kononnya Kerajaan Negeri hari ini lebih banyak meluluskan projek tebus guna tanah berbanding era Barisan Nasional menguasai Pulau Pinang.

Projek tebus guna tanah yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri hari ini seluas 60 ekar sahaja, berbanding 3,241 ekar yang diluluskan oleh pemimpin Barisan Nasional sebelum tahun 2008.

Berdasarkan undang-undang, difahamkan, Kerajaan Negeri mesti mendapatkan kelulusan Kerajaan Pusat melalui Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN) jika projek tambak laut melebihi 100 hektar atau melibatkan 10,000 orang di negeri ini.

"Saya akan minta kontraktor memulakan kerja (tambakan laut) esok kalau mengikut Barisan Nasional, kita (Kerajaan Negeri) sudah meluluskan 4,000 ekar.

"Yang saya sebutkan itu hakikatnya hanya satu cadangan," respons Exco Kerajaan Tempatan Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir kepada wartawan di sini, petang tadi.

Kon Yeow memberi reaksi mudah itu pada sidang media bersama-sama Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato' Mohd. Rashid Hasnon, Jagdeep Singh Deo (Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan), Dato' Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) serta Lim Hock Seng (Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti).

Kon Yeo memberitahu, cadangan tebus guna tanah itu untuk menjayakan pelaksanaan Pelan Induk Pengangkutan (TMP), iaitu rancangan bersepadu untuk menangani masalah kesesakan trafik di negeri ini.

Sebelum itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng mendakwa pentadbirannya difitnah kerana pembangkang mahu menutup kelemahan Kerajaan Negeri era Barisan Nasional, dulu.

Pada tahun 1999, katanya, pemimpin Barisan Nasional pernah meluluskan projek tambakan laut seluas 940 ekar di Tanjung Pinang dengan harga serendah RM1 sekaki persegi kepada satu pihak sahaja, beserta syarat hanya 10 peratus tanah tebus guna tersebut diserahkan kepada Kerajaan Negeri.

"Di Pulau Pinang, nak dapat tanah RM1 sekaki persegi, saya rasa kita (Kerajaan Negeri) perlu balik ke tahun 1786, iaitu semasa Kapten Francis Light datang ke Pulau Pinang," sindir Guan Eng kepada pembangkang.

Tambah beliau, 151 tanah tebus guna diserahkan kepada Kerajaan Negeri hari ini pun adalah hasil rundingan bersama dengan syarikat pemaju terbabit, E&O.

"Pemberian (tebus guna) tanah yang diluluskan oleh pemimpin Barisan Nasional dahulu agak murah, maka itulah mereka (E&O) bersetuju memberikan tambahan 151 ekar tanah secara percuma kepada Kerajaan Negeri hari ini," jelas Guan Eng lagi.

Tegasnya lagi, seluas 744 ekar tambakan laut telahpun dilakukan di negeri ini, sungguhpun Kerajaan Negeri era Barisan Nasional dahulu meluluskan 3,241 ekar projek tebus guna termasuk di Tanjung Pinang.

Baki 2,497 ekar projek tebus guna tanah yang masih belum dilaksanakan sehingga kini adalah Fasa 2 Tanjung Tokong membabitkan 891 ekar dan 1,606 ekar di Butterworth.

"Itu, tidak mengambil kira 1,120 ekar tanah lain yang turut ditebus guna oleh pemimpin BN juga kerana melibatkan tujuan awam," jelas beliau.

Dalam perkembangan sama, Guan Eng memberitahu bahawa pembangkang sepatutnya sepatutnya mengemukakan suatu usul supaya menangguhkan rancangan penambakan laut "yang masih belum diluluskan", bukan sebaliknya.

Beliau turut mencadangkan suatu pra-syarat membabitkan komitmen Kerajaan Persekutuan dimuatkan dalam usul pembangkang tersebut, jika mahu menangguhkan kerja-kerja tambakan laut yang telahpun diluluskan oleh Kerajaan Negeri terdahulu tersebut.

Guan Eng berkata, "pra-syarat bahawa Kerajaan Persekutuan akan memberikan bayaran indemniti penuh (iaitu bayaran 'back-to-back') kepada Kerajaan Negeri untuk semua bayaran pampasan bagi penambakan laut yang ditangguhkan," sepatutnya turut dimuatkan dalam usul pembangkang.

Isu tebus guna tanah ini meledak dalam media serta mendapat perhatian banyak pihak, selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada 20 November lalu menerima suatu usul daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Sr. Mohamad Farid Saad.

Wakil pembangkang itu mengemukakan suatu usul supaya semua projek tebus guna tanah ditangguhkan.

Usul itu akhirnya ditolak oleh majoriti 23 ADUN Pakatan Harapan sungguhpun mendapat sokongan ADUN Teh Yee Cheu daripada DAP.

Lima ADUN PKR lain, ADUN Bukit Tengah, Ong Chin Wen, Dr. Norlela Ariffin (Penanti), Cheah Kah Peng (Kebun Bunga), Dr. T. Jayabalan (Batu Uban) dan Lee Khai Loon (Machang Bubuk) mengambil sikap berkecuali.

"Tidak ada seorang pun daripada ADUN PKR (yang) mengambil keputusan itu bangun untuk membahaskan usul tersebut.

"Sebaliknya, Ketua Whip PKR, Ong Chin Wen hanya memberitahu seorang pemimpin kebangsaan PKR tentang niat berkecuali, tetapi tidak pula memberitahu Exco-Exco PKR atau Timbalan Ketua Menteri I, seolah-olah ia adalah undi tidak percaya beliau terhadap pemimpin PKR Negeri," tegasnya.

Guan Eng dalam reaksi spontan mengkritik keras keenam-enam ADUN berkenaan kerana didakwa boleh mengakibatkan Kerajaan Negeri hari ini bankrap.

Bagaimanaopun, beliau memberitahu bahawa semua ADUN PKR terbabit masih dianggap sebagai sebahagian daripada anggota Kerajanan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang.

Hanya, Yee Cheu seorang sahaja mengaku tindakannya itu merugikan Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang, serta bersedia menerima sebarang tindkaan tatatertib yang ditentukan oleh pemimpin partinya.

Susulan itu, Guan Eng menerima kritikan media dan banyak pihak kerana tidak menghormati perbezaan tindakan yang dilakukan oleh keenam ADUN terbabit.

Guan Eng memberitahu bahawa beliau lebih rela dikritik demi mempertahankan mandat yang diberikan oleh majoriti rakyat.

Beliau tidak rela dikenang sebagai pemimpin yang mengakibatkan Kerajaan Negeri menghadapi risiko bankrap semata-mata untuk tunduk pada usul pembangkang tersebut.