Skip to main content

Tebus guna 940 ekar tanah Tanjong Tokong, pemimpin Umno jual RM1 sekaki persegi?



KENAPA BERITA HARIAN TAK LAPOR KERAJAAN BN P.PINANG PADA TAHUN 1999 PERNAH LULUS TEBUS GUNA 940 EKAR TANAH TANJONG TOKONG SERENDAH RM1 SEKAKI PERSEGI?

12 November 2015

Apabila dibaca akhbar arus perdana bertarikh 11 November, hanya rekod tebus guna tanah Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Pulau Pinang sahaja yang didedah.

Kenapa Berita Harian tak mendedahkan bersama-sama rekod Kerajaan Pulau Pinang era Umno Barisan Nasional dahulu yang melakukan tebus guna tanah secara tender tertutup hingga menguntungkan pihak tertentu sahaja?

Dalam rekod, sebanyak 744 ekar tanah telah ditebus guna oleh Barisan Nasional semasa menjadi Kerajaan Pulau Pinang.

Mengikut pecahan, tebus guna 249.60 ekar dalam fasa 1 Tanjong Tokong, 263.1 ekar di Jelutong, 61.80 ekar di Lebuh Meccallum, 54 ekar lain di Tanjong Tokong dan 115.65 ekar di Bagan Luar.

Semua pecahan di atas adalah tanah yang ditebus guna semasa Kerajaan Negeri era Barisan Nasional.

Tanah tebus guna dalam Pelan Struktur Pulau Pinang yang ditebus guna selepas diluluskan oleh Kerajaan Barisan Nasional Pulau Pinang ada dua sahaja.

Pertama, 891 ekar tanah dalam fasa 2 Tanjong Tokong untuk pembangunan bercampur.

Kedua, 650 hektar atau 1,606 ekar di Butterworth untuk tujuan pembesaran National Butterworth Container Terminal (600 ekar), zon simpanan pelabuhan (314 ekar) dan pembangunan bercampur Rayston Consortium (Butterworth) Sdn. Bhd. (692 ekar).

Manakala, tanah tebus guna yang diluluskan oleh Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Pulau Pinang pula ada dua.

35 ekar tanah ditebus guna di Bayan Mutiara dan 24.79 ekar lain di Bayan Bay.

Tebus guna 24.79 ekar tanah Bayan Bay oleh Tetuan Ideal Gim Ventures Sdn. Bhd. untuk pembinaan 2,100 unit perumahan di atas 11.79 ekar, 11 ekar lain sebagai rizab kerajaan dan baki 2 ekar lagi untuk kegunaan infrastuktur.

Bagi kelulusan ini, Kerajaan Negeri hari ini menerima kompleks sukan moden bertaraf antarabangsa yang terdiri oleh:

i. Velodrome Semi Covered dengan trek berbasikal sepanjang 250 meter, serta 3 unit gelanggang bola keranjang dan bola tampar.

ii. Kolam renang beserta 'diving pool'; dan

iii. Sebuah padang bola sepak di Persiaran Bayan Indah, Petak "A" bersebelahan Lot 15739 Mukim 12 Daerah Barat Daya.

Mengenai tanah Bayan Mutiara pula, 102.3 ekar tanah termasuk 35 ekar tebus guna laut oleh Ivory Properties Group Berhad dilakukan secara tender terbuka.

Harga rizab yang dicadangkan oleh Jabatan Penilaian Tanah serendah RM65 sekaki persegi, manakala Kerajaan Negeri menetapkan 200 sekaki persegi agar lebih kompetatif.

Ivory menawarkan harga tertinggi iaitu RM240 yang mesti dibayar kepada Kerajaan Negeri dalam tempoh 8 tahun.

Hasil amalan tender terbuka, Ivory bersetuju membayar RM1.072 bilion (RM1,972,203,264), dengan syarat pembayaran dalam tempoh yang lebih pendek, iaitu 5 tahun sebagaimana dicadangkan oleh Kerajaan Negeri.

Satu lagi contoh adalah cadangan Kerajaan Negeri pada April 2013 untuk membenarkan tebus guna 110 ekar tanah di Tanjong Tokong kepada pemaju Konsortium Zenith BUCG Sdn. Bhd. melalui tender terbuka juga.

Sebagai ganti pada hasrat Kerajaan Negeri, tiga lebuh raya serta satu terowong bawah laut bernilai RM6.3 bilion oleh pembida, demi menangani cabaran kesesakan trafik di bahagian Pulau.

Ini untungnya tender terbuka, yang Umno Barisan Nasional gagal lakukan semasa memerintah Kerajaan Negeri Pulau Pinang dulu.

Sebagai contoh, kepimpinan Barisan Nasional pada tahun 1999 dulu melalui tender tertutup meluluskan projek tambakan laut seluas 940 ekar dengan harga mengejutkan serendah RM1 sekaki persegi kepada satu pihak, dengan syarat hanya 10 peratus tanah tebus guna diserahkan kepada Kerajaan Negeri.

Orang kampung pun tahu betapa mahalnya harga tanah di Pulau Pinang, dengan mereka tidak akan menjual tanah serendah RM1 sekaki persegi kepada mana-mana pihak seperti yang dilakukan oleh pemimpin Barisan Nasional.

Tetapi, Kerajaan Pulau Pinang era Barisan Nasional sanggup menjual kepentingan awam di negeri ini serendah RM1 sekaki persegi secara rundingan tertutup, jelas-jelas lebih menguntungkan pihak tertentu sahaja.

Bagi saya, motif akhbar Berita Harian melaporkan Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Pulau Pinang menjual 24 hektar projek tambakan laut sahaja demi menutup satu isu sebenar.

Isu sebenar adalah tebus guna tanah yang dilakukan oleh pemimpin Barisan Nasional dahulu secara tender tertutup merugikan Kerajaan Negeri, berbanding amalan tender terbuka yang dilaksanakan sekarang ini.

Sekian.

ZAINULFAQAR YAACOB
Pengarah Komunikasi
AMANAH Pulau Pinang

+ 60194241583
zainulfaqary@gmail.com
faqar.blogspot.com