Skip to main content

Majukan tanah lapang sebelum serah kepada MBPP, syor Jagdeep

(Depan, dari kiri) KETUA Menteri, Jagdeep Singh Deo, Patahiyah Ismail serta beberapa Ahli Majlis MBPP di kawasan pemajuan Taman Kejiranan Lengkok Free School di sini, semalam.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

DATUK KERAMAT - Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) diminta mempertimbang syor untuk mewujudkan garis panduan baharu supaya tanah lapang yang akan diserahkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diperindahkan oleh pemaju perumahan terlebih dahulu.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo memberitahu, langkah itu demi memastikan tiada lagi open space yang terbiar sampai 12 tahun, seperti di Taman Kejiranan Lengkok Free School baru-baru ini.

"Saya mencadangkan kepada MBPP ada suatu garis panduan agar tanah lapang yang akan diserahkan ini mesti dimajukan terlebih dahulu, agar Pulau Pinang ini boleh dihijaukan serta memberi manfaat kepada penduduk di sekeliling," jelas beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat pada Majlis Cadangan Pembinaan Taman Kejiranan Lengkok Free School di sini baru-baru ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng sendiri dalam ucapannya bersetuju dengan cadangan Jagdeep supaya suatu garis panduan baharu berwajib diwujudkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkenaan.

"Kalau tak ada progres seperti (di Lengkok Free School) ini, saya rasa kita (Kerajaan Negeri) wajibkan.

"Sebelum serahkan, mesti cantikan tanah lapang dahulu, supaya MBPP (Majlis Bandaraya Pulau Pinang) tidak perlu belanja wang untuk buat taman baru yang tidak dibuat (terbiar) sejak 10 hingga 20 tahun lepas," jelas Guan Eng sebelum merasmikan majlis tersebut.

Lagipun katanya, penduduk setempat akan terdedah pada wabak denggi apabila satu-satu tanah lapang yang terbiar di negeri ini menjadi sarang pembiakan nyamuk Aedes.

Manakala, Datuk Bandar MBPP, Dato' Patahiyah Ismail pula memberitahu, kos memajukan tanah lapang Taman Kejiranan Lengkok Free School tersebut menelan belanja RM109,600, dengan kurangan sebanyak RM47,600 disumbangkan oleh beberapa Ahli Majlis MBPP.