Skip to main content

Waktu operasi baru bina 'special span', tutup jalan mulai 12 Okt.

(Dari kiri) ANG Aing Thye, Patahiyah Ismail, Chow Kon Yeow, Lim Guan Eng, Lim Hock Seng dan Wong Hon Wai pada sidang media di sini, pagi tadi. | Foto: Buletin Mutiara

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Tempoh masa untuk kerja-kerja pembinaan rentang tuju istimewa (special span) bagi projek menaiktaraf Lebuhraya Bayan Lepas (BLE) dari Batu Maung ke Queensbay, Sungai Nibong akan ditambah menjadi 102 jam seminggu, mulai Isnin ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berharap, projek Kerajaan Pusat itu dapat disiapkan sepenuhnya mengikut jadual pada bulan Jun tahun depan, tanpa kesesakan trafik yang teruk serta sebarang kemalangan jiwa.

“(Kerja-kerja pemajuan) akan dilaksanakan setiap hari, tetapi mengikut masa yang ditetapkan.

“Waktu puncak (sebelum jam 9.00) pagi tiada masalah (trafik) kerana jalan-jalan ini masih dibuka, tetapi, pada waktu lain, kita (Kerajaan Negeri) berharap semua pengguna boleh ambil perhatian.

“(Pemaju) mesti fleksibal dan ada budi bicara supaya tidak lagi berlaku kesesakan (trafik), kalau tidak mesti terima arahan (penangguhan kerja-kerja) daripada saya lagi,” tegas Guan Eng di sini, pagi tadi.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow, Lim Hock Seng (Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti), Dato' Patahiyah Ismail (Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang, MBPP), Ir. Ang Aing Thye (Setiausaha Majlis MBPP) turut hadir pada sidang media tersebut.

Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah Kanan Unit Projek Khas Zon Utara bagi Jabatan Kerja Raya (JKR), Mohd. Yusup Zahidin dan Ir. Ismade Ismail (Pengurus Pemajuan bagi UEM Builders Bhd.).

Menurut Guan Eng, ketetapan terbaru mengenai projek Kerajaan Pusat itu diputuskan selepas mempertimbang syor Panel Jurutera Pakar Bebas yang dilantik oleh Kerajaan Negeri dan cadangan-cadangan daripada Persatuan Syarikat Perindustrian Bebas (Frepenca) serta mengambil kira kepentingan penduduk secara amnya.

Guan Eng memberitahu, jalan-jalan berwajib akan ditutup dari 9.00 malam hingga 5.00 pagi serta dari 10.00 pagi hingga 4.30 petang pada tiap-tiap hari hari bekerja, Isnin hingga Jumaat.

Manakala pada hari Jumaat hingga awal pagi Isnin, Guan Eng memberitahu, jalan-jalan sama turut akan ditutup mulai jam 9.00 pagi hingga 5,30 pagi.

“Namun, tiada penutupan jalan dari 10.00 pagi hingga 4.30 petang pada Hari Jumaat sahaja kerana kita (Kerajaan Negeri) tidak mahu kesesakan trafik semasa orang Islam pergi sembahyang Jumaat,” jelas Guan Eng lagi.

Terdahulu, kegagalan JKR serta UEM melaksanakan pelan penutupan jalan secara berjadual demi membolehkan kerja-kerja pemasangan tiga bahagian special span lebuh raya bertingkat yang merintangi Sungai Keluang dekat Bayan Baru pada 17 Ogos lalu mengakibatkan kesesakan trafik, hatta, menggamit amarah rakyat serta rasa tidak puas hati Kerajaan Negeri.

Kerajaan Negeri mengarahkan pembukaan semula jalan-jalan berwajib dengan kerja-kerja di tapak pemajuan dihentikan serta-merta, untuk penilaian lanjut oleh Panel Jurutera Perunding Bebas yang ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri.

Tegas Guan Eng, Kerajaan Negeri berharap insiden runtuhan penyambung susur keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang (JK2PP) yang meragut empat nyawa pengguna jalan raya tersebut pada awal bulan Jun 2013 daripada berulang lagi sepanjang tempoh pemajuan projek Kerajaan Pusat ini.

Panjang lebuh raya yang akan dinaiktarafkan tersebut adalah 4.4 kilometer.

Difahamkan, tiga bahagian rentang tuju yang bakal dibina dalam projek tersebut umumnya adalah terpanjang di Malaysia, dengan ketinggian 390 meter, sepanjang 170 meter, selebar 18 meter, serta berat keseluruhannya 14,000 tan atau 6,400 berat berat minimum satu-satu bahagian konkrit tersebut.

Kerja-kerja pemajuan projek pula menelan belanja RM337 juta, secara rasminya bermula pada 1 April 2014 dan dijangka siap dalam tempoh 24 bulan pada tarikh 31 Mac 2016.