Skip to main content

Islam Rahmatan Lil 'Alamin tema Ma'al Hijrah 1437H, konvensyen 6-8 Nov.

TUN Abdul Rahman Abbas (dua dari kiri) menyampaikan Anugerah Tokoh Ma'al Hijrah 1437H Pulau Pinang kepada Ellias Zakaria (empat dari kiri) sambil disaksikan oleh Abdul Malik Abul Kassim (paling kiri), Mohd. Rashid Hasnon (tengah) dan Farizan Darus (paling kanan) di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BERTAM - Konvensyen Islam Rahmatan Lil 'Alamain akan dianjurkan di peringkat negeri Pulau Pinang pada 6 hingga 8 November depan, selepas moto dakwah itu diangkat sebagai tema Sambutan Ma'al Hijrah 1437H/2015M Peringkat Negeri Pulau Pinang baru-baru ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Abdul Malik Abul Kassim semasa membuat pengumuman itu memberitahu, pemilihan tema tersebut adalah diilhamkan sendiri oleh bekas Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada bulan Februari lalu.

“Usaha menyemarakkan maksud Islam Rahmatan Lil 'Alamin telahpun diilhamkan oleh mantan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk diangkatkan di peringkat negeri ini, (disusuli) dengan suatu 'Konvensyen Islam Rahmat Ke Seluruh Alam' diadakan di Kuala Lumpur pada awal (bulan) Februari lalu.

“Insya Allah, suatu konvensyen Islam Rahmatan Lil 'Alamin akan diadakan di Pulau Pinang pada 6, 7 dan 8 November ini, dengan ucaptama akan disampaikan oleh Mufti Besar Zimbabwe (Sheikh Ismail ibn Musa Menk),” jelas Abdul Malik pada Majlis Himpunan Ummah yang dilangsungkan di Dewan Millenium dekat Kepala Batas di sini.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato' Mohd. Rashid Hasnon dalam ucapannya pula mengingatkan umat Islam supaya memperkasakan gerakan dakwah dengan menonjolkan kesederhanaan serta perasaan saling kasih sayang sesama manusia, ke arah agenda memartabatkan Islam di negeri ini.

“Agenda memartabatkan Islam di Pulau Pinang adalah agenda Kerajaan Negeri, maka, gerakan dakwah dengan menitikberatkan aspek wasathiah (kesederhanaan) dan kasih sayang sesama manusia akan membantu penghayatan tiap-tiap umat Islam pada maksud Islam Rahmatan 'Lil 'Alamin,” jelas Mohd. Rashid pada Majlis Himpunan Ummah yang dihadiri lebih 500 hadirin.

Mohd. Rashid turut merakamkan penghargaan atas kehadiran Yang Dipertua Negeri, Tuan Yang Terutama (T.Y.T) Tun Datuk Seri Utama Dr. Abdul Rahman Abbas dengan diiringi isteri, Toh Puan Seri Hajah Majimor Shariff, menyampaikan ucapantama serta merasmikan majlis sambutan Ma'al Hijrah kali ini.

Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Dato' Mohd. Salleh Man, Dato' Seri Farizan Darus (Setiaushaa Kerajaan Negeri), Sohibus Samahah Dato' Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor (Mufti Pulau Pinang), Y.A. Dato' Abdul Walid Abu Hassan (Ketua Hakim Syarie Pulau Pinang) Dato' Maktar Shapee (Timbalan Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang) dan Dato' Sazali Hussein (Pengarah Jabatan Agama Islam Pulau Pinang, JAIPP) turut pemimpin Kerajaan Negeri yang hadir pada majlis sambutan tersebut.

Sementara itu, Pengarah Pusat Transformasi Insan, Profesor Madya Dato’ Al-Ustaz Haji Ellias bin Haji Zakaria telah dianugerahkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Negeri Pulau Pinang pada tahun ini.

Ellias, 59, menerima sehelai jubah berwarna keemasan, medal, trofi, sijil penghargaan serta wang berjumlah RM8,000.00.

“Anugerah ini saya anggap untuk membentuk perubahan dalam menyumbang bakti dalam melaksanakan tugas-tugas dan menyampaikan dakwah atas prinsip melakukan kerja secara ikhlas kerana Allah S.W.T.

“Saya fikir ini adalah anugerah berdasarkan sumbangan saya melalui pelbagai institusi atau sukarela selama ini di samping perkhidmatan di peringkat universiti, negeri, kebangsaan dan antarabangsa yang bukan bertujuan untuk menerima anugerah tetapi semangat 'Saya Sayang USM' yang ada di dalam diri,” jelas Ellias yang juga mantan Yang di-Pertua MAINPP.

Khadijah Lim binti Abdullah (kiri) diiringi Salmah Mohd. Sobri mempamerkan anugerah yang disampaikan oleh Kerajaan Negeri di sini baru-baru ini.
Khadijah Lim binti Abdullah yang dipilih tokoh “Saudara Kita Cemerlang” pula berkata, anugerah serta penghargaan tersebut akan memberi motivasi kepada pasukannya, Islamic Propagation Society International (IPSI) untuk menggandakan kerja-kerja dakwah non-Muslim di negeri ini.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri...tidak dilupakan adalah IPSI kerana daripada pertubuhan dakwah itulah yang banyak mengajar saya erti hidup dalam Islam,” jelas Khadijah, diiringi Pegawai JAIPP, Salmah Mohd. Sobri.

ABDUL Alim Araby Mohd. Salleh Al-Kahery (kiri) bersama-sama Mohd. Naqi Md. Ali mempamerkan anugerah yang disampaikan oleh Kerajaan Negeri di sini baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid Taman Semilang, Haji Abdul Alim Al-Araby bin Haji Mohd. Salleh Al-Kahery turut melahirkan penghargaan kerana majlisnya dipilih menerima anugerah empat bintang sempena sambutan Ma'al Hijrah 1437H.

“Ini anugerah pertama yang masjid kita terima antaranya atas kerja-kerja kebajikan yang kita telah lakukan di peringkat kariah.

“Pada masa depan ini, kita akan menubuhkan 'Klinik Ummah' di mana kita akan memberi perkhidmatan kesihatan kepada semua bangsa tidak kira anak Melayu, anak Cina atau anak India terutama kepada anak-anak kariah kita secara percuma,” jelas beliau sambil merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri,” jelas Abdul Alim diiringi Setiausaha Kariah, Mohd. Naqi Md. Ali.