SEBAHAGIAN peminjam TUTM sedang melafaz ikrar dalam membayar balik seperti yang dijanjikan mengikut terma dan syarat perjanjian. | Foto: Buletin Mutiara |
PANTAI JEREJAK - Skim pinjaman mikro kredit Tabung Usahawan Tani Muda (TUTM) yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri diharap terus menggamit minat golongan belia untuk menceburi bidang pertanian moden di Pulau Pinang.
Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berkata demikian pada majlis penyerahan TUTM kepada 25 peminjam pertama di sini baru-baru ini.
"Saya melihat bidang pertanian ini sememangnya peluang terbaik dalam menjana pendapatan lumayan, sayangnya ia hanya dipelopori golongan warga emas.
"Jadi, TUTM diperkenalkan untuk petani dan nelayan muda dalam memperkembangkan sektor pertanian dengan praktis yang moden," jelas beliau pada majlis yang dilangsungkan di Kompleks Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dekat Bayan Lepas.
Tambah beliau, transisi daripada pertanian tradisonal kepada kejenteraan serta kaedah-kaedah moden seperti di Australia terbukti menggandakan produktiviti bekalan makanan di negara itu.
"Sektor pertanian di Pulau Pinang sememangya mempunyai potensi yang amat besar dan tiada alasan bagi kita menidakkan perkara tersebut yang terbukti apabila negara seperti di New Zealand yang mempunyai empat juta penduduk mampu menjadi negara utama pengeluar susu di dunia.
"Jadi dengan penduduk 1.6 juta, Pulau Pinang sekurang-kurangnya kita harap dapat masuk sebahagian dari kepentingan sektor pertanian dunia,” jelas Dr. Afif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya.
Atas maksud itu, katanya lagi, Kerajaan Negeri menubuhkan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di lokasi khas seluas 115.20 hektar dekat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bukit Tengah yang siap beroperasi pada bulan Julai lalu, dengan nilai pelaburan RM40 juta.
Difahamkan, sektor pertanian negeri mencapai pertumbuhan menggalakkan sebanyak 4.7 peratus, berbanding dengan 3.0 peratus untuk seluruh Malaysia dalam tempoh tahun 2011 hingga 2013.
Maka, sumbangan pertanian kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Pulau Pinang pula menyaksikan peningkatan kepada 1.9 peratus pada tahun 2013, berbanding dengan 1.6 peratus pada tahun 2005.
MOHD. Fuad Mohd. Radzi |
“Pemberian bantuan ini akan saya gunakan untuk membeli baja dan peralatan berkaitan dengan tanaman sayur-sayuran dan ikan keli yang saya usahakan di tanah berkeluasan tiga ekar sekarang,” ujar Muhd Fuad, seorang petani muda dari Simpang Empat Tasik dekat Seberang Perai Selatan (SPS).
Ditanya mengenai penglibatan beliau sebagai petani muda, beliau menjelaskan yang dia sememangnya berminat dengan sektor pertanian tanpa dipengaruhi oleh sesiapa.
“Selepas tamat pengajian saya pernah bekerja makan gaji, namun tidak bertahan lama, lalu saya beralih kepada pertanian kerana ianya lebih menarik dan 'kena' dengan jiwa saya sendiri,” ujar beliau lagi.
No comments:
Post a Comment