Skip to main content

Tidak siar Shaikh Hussein mohon maaf, Guan Eng saman malu Utusan, Berita Harian

KETUA Menteri (tengah) bersama-sama Wong Hon Wai (kiri) dan Chong Eng (kanan) pada sidang media di sini, pagi tadi.


Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng akan mengfailkan saman malu ke atas akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian, gara-gara enggan menyiarkan perkara sebenar mengenai lafaz permohonan maaf sebanyak dua kali daripada Shaik Hussein Mydin, sebelum Penghakiman Persetujuan diumumkan pada 20 Ogos lalu.

"Seolah-olah saya pula menarik saman fitnah itu tanpa syarat, sungguhpun Shaikh Hussein Mydin sebenarnya (melafazkan) dua kali permohonan maaf dengan syarat disiarkan dalam media-media terbabit.

"Nampaknya Utusan Malaysia dan Berita Harian enggan menyiarkan perkara sebenar yang disaksikan oleh Pesuruhjaya Kehakiman  (Y.A. Dato' Nordin Hassan), saya akan mengfailkan saman malu ke atas dua media terbabit," jelas Guan Eng kepada wartawan di sini pagi tadi.

Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Chong Eng dan Wong Hon Wai (Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri) turut menyertai sidang media itu.

Terdahulu, Guan Eng bersetuju menarik balik saman fitnah yang difailkan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada bulan Oktober 2012, apabila Shaik Hussein dikatakan bersetuju menarik balik semua tuduhan yang disiarkan di beberapa media sebelum ini.

Bagimanapun, Shaik Hussein yang juga bekas Ketua Pemuda Umno pada sidang media selepas Consent Judgement itu menafikan pula beliau melafazkan permohonan maaf kepada Guan Eng.

Pun begitu, Guan Eng pada sidang media berasingan berharap tindak-tanduk Shaik Hussein yang sebelum ini didakwa berniat jahat itu diharap menjadi teladan kepada pemimpin pembangkang Pulau Pinang yang lain.

Sehari kemudian, Penasihat Undang-Undang Ketua Menteri, Raja Syarafina Raja Shuib dalam satu kenyataan bertulis mendedahkan perkara sebenar berdasarkan salinan Penghakiman Persetujuan berwajib.

Salinan dokumen Penghakiman Persetujuan menyatakan bahawa defender bersetuju menarik balik kenyataan yang dibuat pada 5 Oktober 2012.

Kenyataan itu berbunyi, "Dan saya merasakan dan saya tidak menuduh, saya tidak menuduh, saya berasakan bahawa dia telah mengambil rasuah daripada Dental, Kuala Lumpur International Dental Hospital."

Katanya lagi, "To Chief Minister of Penang, please don't waste our time. We are busy untuk menepati janji. Dia busy untuk menipu. Dia memang tipu."

Dokumen Consent Judgement sama turut menyebut plaintif akan menarik balik tuntutannya ke atas defendan.

Kedua-dua pihak turut bersetuju untuk menanggung kos masing-masing, tidak akan melanjutkan sebarang tindakan baru pada masa depan, berhubung kes berbangkit tersebut.

Shaik Hussein pada 5 Oktober 2012 dilaporkan menuduh Guan Eng sebagai korup, dengan melakukan penipuan serta menerima rasuah daripada Pusat Pergigian Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIDC), yang dikaitkan dengan suatu projek pembangunan bercampur di atas sebidang tanah berhampiran Taman Manggis di Jalan Zainal Abidin.

Guan Eng dalam reaksi spontan memberitahu kenyataan Shaik Hussein itu tidak berdasarkan fakta kebenaran, serta berniat jahat terhadap dirinya.

Sambil mencanangkan tuduhan berunsur fitnah, Shaik Hussein turut berdalih untuk berdialog dengan Guan Eng bagi mencari kebenaran.

Susulan itu, Guan Eng memohon injuksi untuk menghalang Shaik Hussein dan agennya yang lain daripada mengulangi kata-kata fitnah ke atasnya.

Malah, Guan Eng ke Mahkamah Tinggi bersama-sama peguamnya, Jagdeep Singh Deo (kini Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan) untuk memfailkan saman fitnah tersebut, menuntut saman ganti rugi, kos serta kenyataan terbuka disiarkan di semua media arus perdana.

Selepas memfailkan saman, Guan Eng memberitahu wartawan dalam sidang media di luar mahkamah, jika beliau tidak mengambil tindakan mahkamah, isu tersebut akan dieksploitasi oleh Barisan Nasional (BN) untuk memburukkan imejnya serta Kerajaan Negeri.

Selepas beberapa kali sesi perbicaraan dalam tempoh hampir tiga tahun, akhirnya kes tersebut diselesaikan secara Penghakiman Persetujuan.