Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
GEORGE TOWN - Hubungan diplomatik yang erat antara Pulau Pinang dan Australia sejak tahun 1980-an lagi diharap membuka peluang untuk negara tersebut memindahkan ilmu serta pengalaman dalam sistem pendidikan vokasional mereka ke negeri ini.
Menurut Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri melalui Pusat Kemahiran dan Pembangunan Pulau Pinang (PSDC) sebelum ini telahpun berjaya memeterai satu perjanjian untuk membawa masuk Sistem Pendidikan Vokasional Jerman ke negeri ini.
"Dengan kumpulan pertama yang terdiri oleh 22 pelajar telah memulakan kursus mereka selama 40 bulan, menandakan buat pertama kali program latihan vokasional Jerman dilancarkan di negara ini.
"Sesungguhhya kedua-dua pihak, Australia dan Pulau Pinang secara bersama boleh berkembang bukan sahaja dalam pelancongan, malah, juga dalam bidang elektronik dan latihan vokasional di peringkat pengurusan (kelas) menengah.
"Maka, saya berharap Datuk Dr. Lim Huat Bee, iaitu seorang doktor kulit yang bukan sahaja berjaya di Pulau Pinang, malah, mempunyai hubungan yang kukuh dengan Australia dapat membantu Kerajaan Negeri mengkaji aspek program latihan vokasional secara bersama juga antara Pulau Pinang dan Australia," jelas Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih merangkap Ahli Parlimen Bagan di sini baru-baru ini.
Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam berkenaan berucap sedemikian pada keraian Majlis Ulang Tahun Ke-60 Hubungan Diplomatik Australia Ke Malaysia.
Difahamkan, Australia menjalinkan hubungan diplomatik dengan Malaysia sejak tahun 1955 lagi, iaitu semasa Persekutuan Tanah Melayu belum mencapai kemerdekaan pada tanggal 31 Ogos 1957.
Pada majlis keraian bersejarah ini, kira-kira 200 tetamu dijemput oleh Suruhanjaya Tinggi Australia Ke Malaysia pada majlis yang dilangsungkan di tengah-tengah Bandaraya George Town.
Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Rod Smith berkata, pihaknya berharap hubungan erat yang terjalin di antara kedua-dua negara lebih lima dekad ini dapat saling diperkukuhkan.
"Saya amat gembira untuk memperingati ulang tahun istimewa ini dengan rakan-rakan kita di Pulau Pinang.
"Ia adalah satu peluang yang baik untuk merenung sejarah bersama-sama kami dan meraikan hubungan dua hala yang kukuh.
Hari ini, rakyat Pulau Pinang dan Australia berkongsi banyak kesinambungan dinamik dalam perniagaan, seni, pendidikan dan pelancongan.
"Acara ini juga merupakan peluang bagi kita untuk mengukuhkan hubungan yang erat di antara Australia dan Pulau Pinang," jelas Rod Smith.
Pada majlis sama, Rod Smith turut memperkenalkan Konsulat Tertinggi Australia ke Pulau Pinang yang baru, Dato' Dr. Lim Huat Bee.
Walaupun dikenali sebagai doktor kulit yang berjaya di negeri ini, katanya, Dr. Lim mempunyai hubungan yang kukuh dengan Australia.
Difahamkan, Dr. Lim mempunyai dua orang anak yang bekerja dan tinggal di Australia.
Dr. Lim dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada pihak Australia atas pelantikan itu dan berharap dapat memainkan peranan mengukuhkan hubungan diplomatik dengan Kerajaan Pulau Pinang.
No comments:
Post a Comment