Skip to main content

'Rumah ganti rumah' untuk 14 penghuni tanah wakaf Abdul Kader masih dibuka – Abdul Malik

ABDUL Malik Abul Kassim menunjukkan satu salinan keratan akhbar yang melaporkan MAINPP didakwa mengusir penduduk asal terbabit dari Tanah Wakah Abdul Kader, pada sidang media di sini baru-baru ini.


Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) masih menawarkan pampasan berupa “rumah ganti rumah”, sungguhpun tarikh akhir untuk kesemua 14 pemilik rumah di atas tanah Wakaf Abdul Kader dekat Butterworth adalah pada 31 Ogos lepas.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Abdul Malik Abul Kassim berkata, langkah itu atas perikemanusiaan sungguhpun MAINPP mahu projek tanah wakaf tersebut dimulakan sesegera mungkin.

“Rancangan projek pembangunan di atas tanah wakaf itu telah terbantut meskipun pada tahun 2010, agensi Kerajaan Pusat, iaitu Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (JAWHAR) telahpun memperuntukan sejumlah RM50 juta untuk membina 470 unit rumah pangsa kos sederhana rendah setinggi 22 tingkat.

“Ia, dirancang bagi tujuan penempatan semula sejumlah 46 pemilik rumah yang terlibat juga,” jelas Abdul Malik yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP), Dato' Sazali Hussein.

Mewakili Yang di-Pertua MAINPP Dato' Abdul Malik Abul Kassim, Abdul Malik berkata, kesemua 46 pemilik rumah terlibat pada 1 September 2010 telahpun ditawarkan “rumah ganti rumah” berkeluasan 1,000 kaki persegi.

Katanya lagi, MAINPP turut bersedia untuk menanggung kos bayaran sewa rumah sementara berjumlah RM500 sebulan bagi tempoh masa sehingga projek pemajuan tanah wakaf tersebut siap.

Selain itu, katanya lagi, RM4,000 elaun pindah keluar dan RM3,500 elaun pindah masuk akan dibayar kepada mereka yang terbabit, dengan RM4,000 elaun pindah keluar akan dibayar kepada keluarga berkelamin sahaja.

“Setelah tempoh penerimaan tawaran yang berakhir pada 15 September 2010, hanya 32 penghuni bersetuju dengan tawaran ini, manakala, 14 penghuni lain masih enggan atas pelbagai alasan,” jelas Abdul Malik yang juga Ahli Majlis bagi MAINPP.

Pada 25 Oktober 2010, MAINPP memutuskan untuk mengambil tindakan perundangan ke atas mereka yang enggan mengosongkan tanah wakaf Lot 208, Seksyen 2 Jalan Mengkuang, Butterworth.

MAINPP melalui Peguam Panelnya pada 31 Mac 2011 telahpun menghantar notis berwajib supaya 14 penghuni terbabit mengosongkan tanah wakaf tersebut dalam tempoh tiga bulan, namun, masih diingkari oleh mereka berkenaan.

Susulan itu, MAINPP pada 6 April 2011 mengfailkan saman pemula.

Pada tarikh sama, satu kuasa tindakan yang difailkan oleh salah seorang penduduk terhadap MAINPP di Mahkamah Tinggi Syariah, namun ditolak, serta tiada rayuan susulan dikemukankan oleh pihak terbabit.
Mahkamah Sesyen pada 28 Februari 2014 memihak kepada MAINPP, dengan kos RM1,000 perlu dibayar oleh kesemua penghuni kepada MAINPP.

Penduduk kemudiannya mengfailkan rayuan ke Mahkamah Tinggi, namun ditolak pada 28 Oktober dengan mereka diarah membayar kos RM2,000 kepada MAINPP, serta tiada rayuan lain dibuat hingga tempoh rayuan luput selepas itu.

Rentetan keputusan penghakiman bertarikh 28 Februari 2014, MAINPP pada 10 Fabruari lepas mengfailkan Writ Milikan Kosong ke atas lot tanah wakaf tersebut pada 9 April dan 10 April 2015.

Namun, mesyuarat MAINPP kemudiannya menangguhkan pelaksanaan Writ Milikan Kosong atas rasa perikemanusiaan dan timbang rasa.

Ekoran itu, MAINPP sekali lagi menawarkan sesalinan surat tawar bertarikh 29 Jun 2015 dan diserahkan kesmeua penghuni tersebut.

Abdul Malik pada 12 Ogos lepas mengadakan rundingan dengan 14 penduduk terbabit, dengan menawarkan sekali lagi surat tawaran sama, sebagaimana diterima oleh 32 pemilik rumah asal terdahulu pada bertarikh 1 September 2010.

31 Ogos lepas adalah tarikh akhir untuk 14 penghuni terbabit untuk menerima pampasan “rumah ganti rumah”  yang ditawarkan oleh MAINPP, tetapi sehingga kini tiada maklum balas lanjut.

“Tawaran 'rumah ganti rumah' masih dibuka kepada 14 pemilik asal rumah terbabit atas rasa timbang rasa dan perikemanusiaan, sehinggalah suatu tarikh baru akan ditetapkan oleh MAINPP untuk melaksanakan Writ Milikan Kosong dalam masa terdekat ini,” jelas Abdul Malik.