Skip to main content

P.Pinang lulus RM3 juta naik taraf rumah pam, Guan Eng mohon biaya tambahan Pusat

(Dari kanan) RAMKARPAL Singh,  Ketua Menteri,  Chow Kon Yeow dan Abdul Malik Abul Kassim serta pemimpin Kerajaan Negeri lain menyaksikan operasi mengepam air dari muara Sungai Teluk Kumbar ke pinggir perairan laut di sini,  pagi tadi.  | Foto: Darwina Mohd.  Daud.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BAYAN LEPAS - Rumah pam air sedia ada yang berkapasiti 18 meter kubik sesaat di muara Sungai Teluk Kumbar akan dinaiktaraf ke 40 meter kubik sesaat dengan anggaran RM3 juta dibiayai oleh Kerajaan Negeri,  dan keupayaan jentera tersebut sedia ditingkatkan sehingga 60 meter kubik sesaat jika mendapat peruntukan daripada Kerajaan Pusat. 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata,  pihaknya akan menulis surat kepada Kerajaan Pusat untuk meminta peruntukan tambahan itu,  memandangkan projek penarafan tersebut akan mengurangkan risiko bencana banjir yang dialami penduduk Kampung Nelayan Teluk Kumbar,  Perumahan PERDA, Kampun Suluk, Kampung Paya dan Kampung Masjid di sepanjang sungai tersebut. 

"Kita (Kerajaan Negeri) ada rancangan untuk (menaik taraf jentera mengepam air) ke (kapasiti) 40 meter kubik sesaat.

"Kalau Kerajaan Pusat boleh beri sedikit peruntukan, kita (Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat) boleh bersama-sama meningkatkan kapasitinya ke 60 meter kubik sesaat," jejas Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih semasa melawat rumah pam tersebut di sini pada pagi tadi.

CHOW Kon Yeow (kanan sekali) bersama-sama Ketua Menteri  (lima dari kiri), Wong Hon Wai (empat dari kiri) serta pemimpin Karajaan Negeri lain dari Rumah Pam Kampung Nelayan Teluk Kumbar meninjau keadaan muara sungai serta kawasan kampung berdekatan,  di sini pada pagi tadi. 


Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir merangkap ADUN Padang  Kota, Chow Kon Yeow,  Dato' Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna merangkap ADUN Batu Maung), Wong Hon Wai (Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri merangkap ADUN Air Itam) dan Ramkarpal Singh  (Ahli Parlimen Bukit Gelugor) turut sertai lawatan kerja itu. 

Hadir sama,  dua Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Mhd. Nasir Yahya dan Mohamed Yusoff Mohamed Noor, Ar. Ang Aing Thye  (Setiausaha MBPP), Ar. Addnan Mohd. Razali (Pengarah Kejuruteraan MBPP) serta A. Rajensran (Timbalan Pengarah Kejuruteraan MBPP).

KEADAAN muara Sungai Teluk Kumbar dekat Bayan Lepas,  yang kelihatan hampir separas dengan tapak sebuah rumah kampung di sini. 

Sebelum itu,  Hon Wai memberitahu, peruntukan RM3 juta itu turut meliputi kos penarafan pintu kawalan pasang surut daripada manual kepada automatik, pemasangan sistem amaran banjir, sistem solar winterbind  dan CCTV (kamera televisyen litar tertutup).

"Ini, kawasan satu meter lebih rendah dari paras laut,  selalu mengalami banjir apabila hujan lebat dan air laut pasang besar berlaku.

"Maka,  rumah pam yang lebih besar diperlukan untuk menangani dua masalah besar ini,  dan Kerajaan Negeri pada awal tahun ini (2015) telahpun meluluskan peruntukan RM3 juta.

"Lantikan jurutera perunding dijangka 15 Oktober ini, kita (Kerajaan Negeri) berharap jurutera JPS (Jabatan Pengairan dan Saleran) Daerah (Barat Daya) dapat segerakan projek ini, jangan tunggu musim hujan dan air pasang besar di (bahagian) Pulau pada bulan Mac dan April (tahun depan)," jelas Kon Yeow.