Skip to main content

Perintah cegah jangkitan penyakit anjing gila diwartakan di P.Pinang


(Dari kiri) DR. Siti Salmiah Tahir, Dr. Zailan Adnan, Dr. Afif Bahardin, Lim Guan Eng dan Soon Lip Chee pada sidang media di sini, tengah hari tadi. | Foto: Darwina Mohd. Daud (Buletin Mutiara)


Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB 

GEORGE TOWN - Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng tengah hari tadi mengarahkan tangkapan semua anjing terbiar di Pulau Pinang untuk dilupuskan, selepas dua kes Rabies akibat gigitan anjing gila disahkan positif baru-baru ini.

Justeru, katanya, Perintah Kawasan Jangkitan Penyakit Anjing Gila (Negeri Pulau Pinang) 2015 diwartakan di bawah subseksyen 42(4) Akta Binatang 1953 [Akta 647], demi membolehkan seorang Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri melaksanakan arahan itu.

"Saya tidak mahu masalah mikro dalam hal ini, saya cuma mahu memastikan rakyat Pulau Pinang selamat daripada penyakit jangkitan ini.

"Sekarang adalah kawasan cemas, saya telahpun turunkan kuasa kepada Jabatan Veterinar Negeri untuk melaksanakan perintah ini.

"Ia (anjing gila) rela mati asalkan boleh menggigit apa sahaja, ia sangat bahaya, macam 'zombie'," kata Guan Eng kepada wartawan di sini.

Bercakap pada masa sidang media sama, Exco Pertanian & Industri Asas Tani,  Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin memberitahu dua kes Rabies disahkan positif di Kepala Batas dan Sungai Pinang.

Dr. Afif memberitahu, langkah perwartaan diumumkan oleh Kerajaan Negeri selepas mendapatkan maklum balas daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan  (NGO) berkaitan binatang di negeri ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dato' Dr. Zailan Adnan turut menjelaskan peri bahaya penyakit zoonotik tersebut.

Manakala, Pengarah Perkhidmatan Veterinar Negeri, Dr. Siti Salmiah Tahir pula menjelaskan pula menjelaskan mengenai operasi penguatkuasaan perintah berwajib itu di negeri ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Soon Lip Chee yang juga anggota Jawatankuasa Tetap Kesihatan Negeri.

Rabies adalah penyakit zoonotik atau virus yang merebak daripada haiwan kepada manusia, melalui gigitan atau pemindahan mukus  (saliva) serta boleh mengakibatkan kematian.

Demam dan sakit otot merupakan  petanda awam, sebelum berakhir dengan serangan sistem saraf yang  mengakibatkan keresahan, insomnia, gangguan mental seterusnya bertindak agresif lalu kematian.

Kes Rabies mula dikesan di Negeri Perlis pada 17 Ogos lalu selepas disahkan oleh Veterinary Research Institute (VRI), disusuli kes serupa di Pulau Pinang pada 14 September lalu.