Skip to main content

Patsifit Construction dipilih siapkan projek terbengkalai 30 tahun di Paya Terubong, umum Guan Eng

(Dari kiri) Lim Hock Seng, Jagdeep Singh Deo, Ketua Menteri, John Tan Kok Hooy dan Loh Aik Teong selepas majlis pemeteraian perjanjian penswastaan projek pembangunan bercampur, pada sidang media di sini petang tadi.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, projek pembangunan bercampur di Paya Terubong yang terbengkalai sejak lebih 30 tahun lepas akan disiapkan dalam tempoh 12 bulan, dengan keseluruhan komponen pembangunan dijangka siap pada hujung tahun 2018.

Katanya lagi, Kerajaan Negeri komited menyiapkan projek tersebut kerana pemaju bersetuju dengan cadangan membina 205 unit rumah mampu milik dimasukkan sebagai komponen pelan pembangunan yang baru dalam projek tersebut.

“Kerajaan Negeri telah berunding semula dengan syarikat Patsifit Construction Sdn. Bhd. yang pada asalnya telah terlibat dalam pemajuan asal projek ini dan mempersetujui supaya satu cadangan pembangunan yang baru dibina bersama-sama komponen pemajuan rumah mampu milik.

“Ini adalah selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk menyediakan lebih banyak rumah mampu milik kepada rakyat Pulau Pinang,” ujar Guan Eng kepada wartawan di sini baru-baru ini.

Sebelum itu, Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam menyaksikan majlis tandatangan perjanjian persefahaman (MOU) antara Pengurus Besar Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang (CMI), S. Bharathi selaku tuan tanah dan pihak swasta, John Tan Kok Hooy (Pengarah Patsifit Construction Sdn. Bhd.).

Hadir sama, Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo, Lim Hock Seng (Exco kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti), Wong Hon Wai (Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri merangkap ADUN Air Itam) dan Loh Aik Teong (wakil Patsifit Construction).

Dalam komponen pelan pembangunan yang setujui bersama, difahamkan, sebuah blok bangunan yang terdiri oleh 205 unit rumah mampu milik berkeluasan 850 kaki persegi beserta satu tapak parkir percuma, dengan harga siling RM280,000 seunit akan dibina di atas tanah Lot 11511.

Di atas tanah Lot 8826 pula, satu blok empat tingkat yang terdiri oleh pasar, kompleks penjaja dan pusat komuniti akan dibina, lalu diserahkan kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dengan bayaran nominal RM1 sahaja.

Selain itu, dua blok kedai pejabat dua tingkat yang terdiri oleh 60 unit keseluruhan pemajuan berstrata turut akan dibina di atas tanah Lot 8824 dan 8825.

Justeru, Guan Eng berkata, pemaju perlu mengemukakan semula pelan berkaitan untuk kelulusan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dalam tempoh sebulan mulai tarikh perjanjian ditandatangani, pada 7 September 2015.

“Rundingan terus telah diadakan...ini syarikat dari Pulau Pinang.

“Kerajaan Negeri dengan kerjasama MBPP akan memproses permohonan bagi projek ini secara fast track untuk membolehkan kelulusan diperolehi dalam tempoh tahun ini (2015),” jelas Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih.

Terdahulu, Kerajaan Negeri era Barisan Nasional dulu pada 27 April 1987 memeterai perjanjian perswastaan dengan syarikat Bina Nusa Sdn. Bhd. untuk memajukan projek pembangunan bercampur di atas tanah Lot 8813 dan 8829, berkeluasan 41.1 ekar.

Komponen pembangunan asal yang terdiri oleh 1,570 unit rumah kos rendah, 1,420 unit kos sederhana rendah berjaya disiapkan dan telah diduduki.

Baki, 224 rumah kos sederhana rendah yang lain masih belum dibina serta tertangguh, memandangan blok perumahan tersebut di atas tanah cuma dan berbukit.

Kompleks perdagangan tiga tingkat yang terdiri oleh 16 lot kedai, 18 flatted factories serta pasar awam kering dan basah di bawah komponen asal projek tersebut turut terbengkalai sehingga kini, susulan syarikat Bina Nusa diisytiharkan muflis.

Langkah menyiapkan projek terbengkalai selama hampir 30 tahun tersebut sekaligus komitmen Kerajaan Negeri dalam menyediakan lebih banyak rumah mampu milik untuk rakyat di negeri ini.