Skip to main content

Najib tak hadir Persidangan Anti Rasuah Antarabangsa Ke-16, Guan Eng pertikai dalih menterinya

KETUA Menteri

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Wibawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Paul Low dipertikai gara-gara berdalih kononnya ketidakhadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke Persidangan Anti Rasuah Antarabangsa Ke-16 (IACC) baru-baru ini atas faktor keselamatan.

Justreru, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menasihatkan Paul Low agar tidak berdalih demi menutup isu "sumbangan pihak tertentu" sebanyak RM2.6 bilion ke akaun peribadi Najib, yang kian dipertikai dunia.

"Saya pun mahu mengecam Pauh Low yang tidak boleh menerima hakikat bahawa Perdana Menteri dikritik dalam persidangan antarabangsa, disebabkan sumbangan RM2.6 bilion dalam akaunnya.

"Mengapa tidak keluar dalam media arus perdana di Malaysia.

"Asalnya menjadi orang yang mendesak nak bersih (anti rasuah), sekarang menjadi seakan orang menutup rasuah.

"Saya pun tak tahu apakah yang dimaksudkan isu 'keselamatan' kerana ini berlaku dalam Malaysia, yang langsung tiada apa-apa isu keselamatan.

"Sekiranya seorang perdana menteri boleh tidak selamat untuk menghadiri sebuah persidangan antarabangsa di negara ini, mengapa persidangan ini boleh diteruskan dan tidak dibatalkan atas sebab keselamatan," ujar Guan Eng kepada wartawan di sini pagi ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Abdul Malik Abul Kassim, Phee Boon Poh (Exco Kebajikan & Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar), Lim Hock Seng (Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti) dan Wong Hon Wai (Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri) turut menyertai sidang media tersebut.