Skip to main content

Muktamad nama 'bandar satelit' selepas undian online, respons Guan Eng

KETUA Menteri (empat dari kiri) bersama-sama pemimpin utama lain menyempurnakan majlis pecah tanah Fasa Satu Projek Pembangunan Bercampur Aspen Vision City Batu Kawan di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BUKIT TAMBUN - Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata nama baru bagi 'bandar satelit' yang merangkumi lokasi segi tiga antara Batu Kawan, Cangkat dan Bukit Minyak akan dimuktamadkan oleh Kerajaan Negeri, selepas Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) melaksanakan undian awam secara online dalam tempoh tiga bulan kelak.

“Batu Kawan di kawasan ini bersama-sama beberapa kawasan tanah yang lain akan digabungkan menjadi satu bandar satelit yang baru.

“Selebihnya akan ditentukan kemudian selepas undian secara online untuk memuktamadkan apakah nama terbaik untuk bandar satelit ini,” jelas Guan Eng pada sidang media di sini baru-baru ini.

Beliau berkata demikian selepas berucap dan menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Fasa Pertama Projek Pembangunan Bercampur Aspen Vision City di Batu Kawan di sini baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Aspen, Dato' M. Muraly turut berucap pada majlis tersebut.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato' Mohd. Rashid Hasnon, Chow Kon Yeow (Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir), Jagdeep Singh Deo (Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan), Lim Hock Seng (Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti), Dato' Seri Nazir Ariff Mushir Ariff (Pengerusi dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Aspen) dan Christian Rojkjaer (Pengarah Urusan Ikano Pte. Ltd.) turut menyertai majlis itu.

Hadir sama, Yang di-Pertua Majlis Perbadanaran Seberang Perai (MPSP), Dato' Maimunah Mohd. Sharif dan Dato' Rosli Jaafar (Pengurus Besar PDC).

Guan Eng dalam ucapannya memberitahu, kerja-kerja fasa pertama projek pembangunan bercampur yang bernilai sekitar RM200 juta itu berkuatkuasa serta-merta, termasuk pemajuan gedung pasaraya IKEA pertama di Utara Semenanjung Malaysia yang dijangka siap pada tahun 2018.

Komponen pembangunan bercampur lain antaranya, syarikat penjagaan kesihatan swasta antarabangsa terkenal, Hospital Columbia Asia, serta sebuah sekolah dan hotel berjenama antarabangsa.

“Aspen Vision City dibiayai oleh OCBC Bank (M) Berhad. Kemudahan kredit setakat ini sejumlah RM196 juta telah diluluskan.

“Kami (Kerajaan Negeri) berharap projek ini bersama-sama dengan IKEA akan meningkatkan status Pulau Pinang sebagai bandar antarabangsa dan pintar di rantau ini,” ujar Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam.

Terdahulu, Guan Eng memberitahu bahawa Bandar Satelit Baru yang akan dimajukan di negeri ini sepatutnya difahami seperti pembangunan Wilayah PembangunanMalaysia di Johor, yang merangkumi lokasi segi tiga di antara Lapangan Terbang Antarabangsa Senai di utara, Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di barat daya dan Pelabuhan Pasir Gudang (PPG) di tenggara.

Difahamkan, Kerajaan Negeri melalui Projek Perumahan Mampu Milik (Projek AHS), tanah seluas 200 ekar disediakan untuk membina 11,800 unit kediaman mampu milik berkualiti dalam tempoh 10 hingga 15 tahun.