KUATKAN PEMBESAR SUARA SELAIN TUJUAN AZAN MUNGKIN KERANA MALAS BERDAKWAH
30 SEPTEMBER 2015 | BATU KAWAN
Fatwa Mufti Pulau Pinang, Sohibus Samahah Dr. Wan Salim Wan Mohd Noor membenarkan pembesar suara masjid dan surau untuk tujuan azan dan iqamah di negeri ini sekali lagi menggamit sensitiviti umat Islam dan non-Muslim.
Saya teringat kontroversi kritikan azan yang didakwa terlalu kuat hingga mengganggu privasi seorang non-Muslim di Tanjong Tokong, pada bulan April lalu.
Saya pernah bertanya kepada seorang ahli qariah sebuah masjid dekat Seberang Jaya kerana pembesar suara di kawasan masjid berkenaan turut dikuatkan pada sesi kuliah Maghrib dan Subuh.
Katanya, "supaya nampak syiar Islam...boleh beri kesedaran kepada umat Islam untuk mengimarahkan masjid dan kejut orang Islam bangun Subuh."
Saya bertanya, "apa perasaan umat Islam jika kuil Hindu atau opera Cina pun membuka pembesar suara hingga membingitkan telinga semua orang tidak kira Muslim ataupun orang bukan Islam."
Ahli qariah berkenaan tetap berkata "ini syiar Islam yang mesti dipertahankan."
Saya senyum. Selalu sangat kita terbiasa dengan amalan Melayu seperti ini, sampai kita menganggap amalan seumpama ini sebagai syiar Islam.
Tinggal lagi saya tak sebut, barangkali umat Melayu malas berdakwah dari satu pintu ke satu pintu lain semacam yang dilakukan Rasulullah S.A.W, maka, dikuatkan bacaan al-Quran pada pembesar suara.
Di negeri ini, Persatuan IKUT Mewakili 10,000 Suara Revert Pulau Pinang (MyIKUT) pernah mempersoal hal ini.
Ruang kebebasan di negeri ini memholehkan beberapa NGO dakwah melakukan 'dakwah street' dari pintu ke pintu, dan rekod MyIKUT menunjukkan sebanyak 289 orang memeluk Islam pada tahun 2014.
SYIAR AZAN
أَخْبَرَنِي نَافِعٌ أَنَّ ابْنَ عُمَرَ كَانَ يَقُولُ كَانَ الْمُسْلِمُونَ حِينَ قَدِمُوا الْمَدِينَةَ يَجْتَمِعُونَ فَيَتَحَيَّنُونَ الصَّلَاةَ لَيْسَ يُنَادَى لَهَا فَتَكَلَّمُوا يَوْمًا فِي ذَلِكَ فَقَالَ بَعْضُهُمْ اتَّخِذُوا نَاقُوسًا مِثْلَ نَاقُوسِ النَّصَارَى وَقَالَ بَعْضُهُمْ بَلْ بُوقًا مِثْلَ قَرْنِ الْيَهُودِ فَقَالَ عُمَرُ أَوَلَا تَبْعَثُونَ رَجُلًا يُنَادِي بِالصَّلَاةِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَا بِلَالُ قُمْ فَنَادِ بِالصَّلَاةِ
Maksud:
Telah mengabarkan kepadaku Nafi' bahwa Ibnu 'Umar berkata, "Ketika Kaum Muslimin tiba di Madinah, mereka berkumpul untuk solat dengan cara memperkirakan waktunya, dan tidak ada panggilan untuk pelaksanaan solat. Suatu hari mereka memperbincangkan masalah tersebut, di antara mereka ada yang mengusulkan lonceng seperi loncengnya Kaum Nashrani dan sebahagian lain mengusulkan untuk meniup terompet sebagaimana Kaum Yahudi. Maka 'Umar pun berkata, "Mengapa tidak kalian suruh seseorang untuk mengumandangkan panggilan solat?" Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam kemudian bersabda: "Wahai Bilal, bangkit dan serukanlah panggilan solat." [Sahih Bukhari, no. hadith: 569]
Rujuk riwayat lain, Muslim (no. hadith: 568), Abu Daud (no .hadith: 4334), Tirmidzi, (no. hadith: 175), An-Nasa'I, no. hadith: 622.
Umumnya, ulamak berselisih pendapat mengenai status hukum azan.
1. Iman Nawawi: azan dan iqamah untuk solat fardhu lima waktu adalah berdasarkan syariat dan ijmak yang tiada berselisih pendapat.
2. Albani: wajib, salah jika menganggapnya sekadar sunnah.
3. Ibnu Taimiyyah: fardhu kifayah
GUNA SPEAKER MASJID TERLALU KUAT
Baik orang Islam atau non-muslim umumnya tak pertikai syiar azan, sama ada di Malaysia mahupun di Pulau Pinang.
Tetapi, persoal kegunaan pembesar suara secara terlalu kuat sampai mengganggu privasi masing-masing yang dipertikai.
Teringat kita pada sensitiviti Rasulullah S.A.W sendiri suatu ketika dulu.
: "اعتكف رسول الله صلى الله عليه وسلم في المسجد، فسمعهم يجهرون بالقراءة وهو في قبة له، فكشف الستر، وقال : ألا كلكم مناج ربه، فلا يؤذين بعضكم بعضاً، ولا يرفعن بعضكم على بعض في القراءة، أوقال في الصلاة".
“Ketika Nabi s.a.w beriktikaf (beribadah dalam masjid), baginda mendengar mereka mengangkat suara bacaan (al-Quran) sedangkan ketika itu Nabi s.a.w berada di tempat ibadah baginda. Lalu baginda mengangkat langsir dan bersabda: Ketahui setiap kamu bermunajat kepada Tuhannya, jangan sebahagian kamu menyakiti sebahagian yang lain. Jangan kamu angkat suara bacaan melebihi yang lain dalam solat.”
[Hadith riwayat Abu Daud]
Istidlal: Jika membaca Al-Quran dalam solatpun dilarang mengganggu orang lain, menggunakan pembesar suara secara terlalu kuat walaupun untuk azan sampai mengganggu privasi orang lain takkan dibolehkan secara syarak pula?
PASANG ALUNAN AL-QURAN MELALUI PEMBESAR SUARA SECARA KUAT-KUAT
Jika mengganggu privasi orang lain, maka larangannya sama seperti Rasulullah SAW larang baca Al-Quran dalam solat sampai mengganggu orang lain.
Lagipun, memasang Al-Quran secara kuat-kuat sebelum azan bukanlah sunnah yang dituntut, tetapi lebih pada amalan kebudayaan Melayu.
Maka, boleh ditinggalkan amalan Melayu itu atas sebab mengganggu privasi masyarakat, termasuk non-Muslim.
Sejauh itu, syariat yang betul adalah membaca Al-Quran sendiri, atau diam bagi pendengarnya, berdasarkan firman Allah S.W.T. yang bermaksud:
وَإِذَا قُرِئَ الْقُرْآنُ فَاسْتَمِعُوا لَهُ وَأَنْصِتُوا لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ
Maksud:
"Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.”
[Surah al-A’raf: 204]
Kalau budaya memasang pembesar suara secara terlalu kuat untuk alunan Al-Quran sebelum azan telah lama dilakukan oleh generasi terdahulu yang menguruskan masjid sekalipun, amalan itu bukanlah sumber hukum syarak untuk dipertahankan sebagai hujah, jika nyata sampai mengganggu privasi masyarakat, termasuk non-Muslim.
Marilah ambil pengajaran daripada ayat Al-Quran di bawah ini, kerana kaedah usul tafsir pun menyebut al-'ibrah bi umumi al-lafzi la khususan bi sababihi.
وَإِذَا قِيلَ لَهُمُ اتَّبِعُوا مَا أَنْزَلَ اللَّهُ قَالُوا بَلْ نَتَّبِعُ مَا أَلْفَيْنَا عَلَيْهِ آبَاءَنَا ۗ أَوَلَوْ كَانَ آبَاؤُهُمْ لَا يَعْقِلُونَ شَيْئًا وَلَا يَهْتَدُونَ
“Dan apabila dikatakan kepada mereka Turutlah akan apa yang telah diturunkan oleh Allah mereka menjawab: (Tidak), bahkan kami (hanya) menurut apa yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya. Patutkah (mereka menurutnya) sekalipun datuk neneknya itu tidak faham sesuatu (apa pun tentang perkara-perkara agama), dan tidak pula mendapat petunjuk hidayat (dari Allah”
[Surahal-Baqarah : 170]
KESIMPULAN
Sesungguhnya lebih hikmah jawatankuasa masjid membuat kenduri untuk mengajak umat Islam mengimarahkan majlis, serta dialog antara agama untuk dakwah kepada non-Muslim, berbanding buka pembesar suara kuat-kuat sampai menyakiti perasaan komuniti sekeliling.
Berbalik pada fatwa terbaru Mufti Pulau Pinang, jangan kerana kita malas berdakwah, maka dipasang bacaan Al-Quran secara kuat-kuat menggunakan pembesar suara sampai mengganggu privasi orang lain.
Wallahu 'alam.
ZAINULFAQAR YAACOB
Ketua Komunikasi
Parti Amanah Negara (AMANAH) P.Pinang
+60194241583
No comments:
Post a Comment