Skip to main content

Karnival Rumah Inap Penanti 28 Nov. 'ala-ala Kerala', kata Norlela

NORLELA Ariffin (duduk depan, kanan) bersebelahan dengan Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Amir Md. Ghazali (duduk, belakang) serta Dr. Afif Bahardin yang berdiri sambil mendudung anak sulungnya, di atas salah sebuah bot kecil di jeti Kampung Terus di sini baru-baru ini. | Foto: Ahmad Adil Mohamad
CONTOH houseboat dalam industri pelancongan rumah inap di atas sungai dekat Kerala, India. | Foto: Internet
Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

PENANTI - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Dr. Norlela Ariffin mahu menjadikan Kampung Terus dengan sungai yang indah di sini sebagai hub industri pelancongan berasaskan rumah inap atas perahu kecil, sebagaimana terkenal di daerah Kerala dekat India.

Karnival Rumah Inap Penanti akan dilaksanakan pada 28 November yang turut meliputi kawasan sungai Kampung Tun Sardon dan Kampung Mengkuang Titi di sini, adalah suatu Long Range Planning, iaitu satu perancangan untuk melengkapkan satu perancangan lain ke arah impian yang disebut oleh Norlala.

“Jeti ini dalam satu-satu masa boleh memuatkan 30 bot kecil, pengunjung yang menyertai karnival ini nanti antaranya berpeluang menikmati keindahan flora dan fauna dari Kampung Terus di sini hingga ke HutanPelajaran Air Hitam (dekat Tasek Gelugor).

“Sebenarnya sungai ini adalah backwater (bahagian sungai yang airnya tidak mengalir), sebab itu kandungan miniralnya sangat tinggi dan begitu selamat untuk aktiviti pelancongan.

“Kalau boleh, dibangunkan industri rumah inap terapung sebab di Pulau Pinang memang tiada lagi houseboat, macam industri pelancongan ala-ala Kerala, yang mana rumah inap di atas bot-bot kecil terapung di atas sungai ini,” jelas Norlela kepada wartawan, selepas melawat projek pemajuan jeti Kampung Terus yang hampir siap sepenuhnya di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan merangkap ADUN Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Dr. Wan Azizan Wan Ismail dan Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Amir Md. Ghazali.

Sementara menunggu jelajah desa bersama-sama Dr. Norlela Ariffin, Dr. Afif Bahardin dan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail di sini, Zainulfaqar Yaacob turut merakamkan gambar keindahan desa di sini, dengan kawan baru yang juga Fotojurnalis NST, Cik Zulaikha Syed Zainuzman. 
Difahamkan, projek pemajuan jeti Kampung Terus menelan kos RM60,000 daripada kelulusan Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN), susulan Norlela dan sekumpulan nelayan setempat memohon daripada Kerajaan Negeri, semasa Pilihan Raya Kecil Parlimen Permatang Pauh lalu.

“Walaupun aktiviti nelayan di jeti ini tidak sepenuh masa, tetapi, keindahan sungai dan Kampung Terus di sini sangat berpotensi untuk aktiviti pelancongan, macam magical land sebenarnya bagi mereka yang kali pertama datang ke sini,” jelas Norlela lagi.

Norlela memberitahu bahawa projek mega industri rumah inap atas bot-bot kecil terapung di sungai backwater tersebut telahpun dibentangkan kepada Jawatankuasa Mesyuarat Tetap Pembangunan Pelancongan Negeri, Jabatan Perhutanan, serta agensi-agensi persekutuan berwajib, dan kini dalam proses menunggu kelulusan peruntukan serta pelaksanaan lanjut.