Skip to main content

Hujan lebat punca utama limpahan air berlebihan ke Jalan Paya Terubong, respons Kon Yeow

KETUA Menteri Tuan Lim Guan Eng  (depan, tiga dari kiri) bersama-sama Chow Kon Yeow  (depan,  empat dari kiri) dan Wong Hon Wai  (depan, uia dari kiri) melihat aliran air bersih dari puncak bukit di belakang kawasan pangsapuri Green Garden di sini,  pagi tadi.  | Foto: Darwina Mohd. Daud.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

PAYA TERUBONG - Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, insiden limpahan air ke Jalan Paya Terubung berhampiran kawasan pangsapuri Green Garden pada 23 September lalu dikenalpasti  berpunca oleh air berlebihan dari bukit ekoran hujan yang sangat lebat.

Respons Kon Yeow itu sekaligus menyanggah laporan akhbar News Straits Times (NST) baru-baru ini, yang menuduh insiden di Green Garden berpunca oleh projek pembangunan di kawasan lereng bukit.

"Kita (Kerajaan Negeri) dapati langsung tiada kerja-kerja pemajuan di belakang  Green Garden, tetapi, sumber air yang terlalu kuat dari kawasan ini.

"Maka,  kita boleh katakan bahawa sumber air utama daripada Green Garden, sumber kedua dari Majestic Heights dan sedikit sebanyak (punca) daripada projek Eco World apabila kolam tadahan air melimpah," jelas Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota di sini pagi tadi. 

Beliau berkata demikian selepas melawat lokasi insiden di sini bersama-sama Ketua Menteri,  Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, Wong Hon Wai  (ADUN Air Itam merangkap Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri), Yeoh Soon Hin (ADUN Paya Terubong) dan Ramkarpal Singh (Ahli Parlimen Bukit Gelugor).

Hadir sama,  Setiausaha Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ir. Ang Aing Thye dan Ir. Addnan Mohd. Razali  (Pengarah Kejuruteraan MBPP).

(Dari kiri) RAMKARPAL Singh, Yeoh Soon Hin, Chow Kon Yeow,  Ang Aing Thye dan Lim Guan Eng meninjau lokasi kejadian di Eco World di sini,  pagi tadi. 

Kon Yeow bagaimanapun memberitahu bahawa insiden tanah runtuh  pada 14 September lalu dikenalpasti berpunca oleh kolam takungan di tapak pemajuan PLB Land Sdn. Bhd. dan Eco Terrace Development Sdn. Bhd. tidak dapat lagi  menampung aliran air permukaan ekoran hujan yang lebat pada hari kejadian.

Susulan itu, katanya, Notis Menghendaki Kerja Tanah Diberhentikan telahpun dikenakan ke atas PLB Land, iaitu pemaju yang baru mengambil alih projek terbengkalai Majestic Heights.

Notis serupa turut dikenakan ke atas Eco Terrace, iaitu pemaju projek Eco World.

Manakala,  pemaju Eco Valley pula dikenakan Notis Menghendaki Kacau Ganggu Dihapuskan pada tarikh sama,  14 September. 

ANTARA kerja-kerja mitigasi yang jelas dilakukan di tapak pemajuan Eco World di sini,  pagi tadi.  
WAJAH kolam takungan air di Eco World di sini.

Ketiga-tiga pemaju diminta melakukan kerja-kerja mitigasi terlebih dahulu dalam tempoh dua minggu daripada tarikh notis dikeluarkan, dengan dipantau oleh Jabatan Kejuruteraan MBPP, demi mengelak insiden serupa berulang. 

Dalam tempoh itu,  Kon Yeow memberitahu,  PLB Land telahpun mengeluarkan selut dari longkang serta menyediakan kolam takungan baru,  manakala, kerja-kerja mendalamkan kolam takungan sedia ada turut dilakukan oleh Eco Terrace.

Geo Valley pula sedang melakukan penutupan kawasan lereng bukit yang terdahulu pada 'geotextile'.

"Belumpun kerja-kerja pembesaran dan mendalamkan  kolam takungan siap sepenuhnya, malangnya insiden kedua berlaku di mana (kolam takungan sedia ada) tidak mampu menampung aliran air di permukaan disebabkan hujan yang terlalu lebat (pada 23 September).

"Jika kita  (Kerajaan Negeri) berpihak kepada pemaju seperti laporan mengelirukan (dalam NST), ketiga-tiga pemaju terbabit tidak akan dikenakan 'Stop Work Order' serta-merta semasa insiden pertama berlaku pada 14 September lalu lagi," jelas Kon Yeow lagi.

Dalam perkembangan sama, Kon Yeow memberitahu, kerja-kerja penarafan parit merintangi Jalan Paya Terubong yang sedang dijalankan di sini turut dikenalpasti sebagai salah satu punca berlakunya limpahan air berlebihan semasa hujan lebat baru-baru ini.