Skip to main content

Guan Eng sumbang RM1,000 kepada keluarga mangsa kes pecah rumah

KETUA Menteri (tengah) menyampaikan sumbangan biasa RM1,000 kepada Robiah Hasan (paling kanan), sambil disaksikan oleh Zahar Zainol (paling kanan), Robisyam Samsudin (dua dari kiri) dan Rusdi Samsudin (empat dari kiri) di rumah Allahyarham Samsudin Bakar di sini petang tadi.


Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

PINANG TUNGGAL - Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng petang tadi menyampaikan RM1,000 sumbangan kepada keluarga mangsa kes pecah rumah  di Kampung Padang Cempedak dekat Tasek Gelugor baru-baru ini.

Beliau berharap sekumpulan perompak yang menyebabkan kematian mengejut Allahyarham Samsudin Bakar, 67, akibat serangan jantung segera ditangkap oleh polis.

"Saya akan berbincang dengan Ketua Polis Negara (Datuk Wira Abdul Rahim Hanafi), saya harap perompak-perompak yang masih tidak  dapat dipastikan lagi segera ditangkap,  dan dibawa ke muka pengadilan," jelas Guan Eng semasa melawan rumah mangsa  terbabit.

Guan Eng menyampaikan sumbangan biasa itu kepada balu Allahyarham, Robiah Hasan, 63, ditemani dua anak lelakinya, Rusdi Samsudin, 42, dan Robisyam Samsudin, 40.

Hadir sama, Pegawai Penerangan Kerajaan Negeri, Zahar Zainul serta dua Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Ahmad Tarmizi Abdullah dan Mohd. Shaipol Ismail.

Rabu lalu, sekitar jam 3.30 pagi, sekumpulan perompak memecah masuk rumah tersebut melalui tingkap dan pintu, lalu, mengikat Allahyarham, Robiah dan anak perempuannya, Rafizah Samsudin.

Rusdi  dan Robisyam tiada di rumah semasa kejadian.

Kira-kira RM10,000 antaranya duit membeli lembu untuk Hari Raya Aidiladha, segugus kunci serta beberapa geran kenderaan  dirompak dalam kes pecah rumah tersebut.