Skip to main content

Guan Eng harap Sia Boey semaju kota seni Southbank Centre, London

LAKARAN grafik fasa kelima pemajuan projek “Kelahiran Semula Sia Boey” menonjolkan gambaran Terusan Prangin yang kembali dipulihara di sini kelak.
SUASANA pengunjung pameran awam mengenai Sia Boey di bangunan asal 'Pasar Prangin' di sini baru-baru ini. | Foto: Law Suun Ting.
Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Tapak pasar lama yang dikenali sebagai 'Sia Boey' berhampiran Komtar akan dibangunkan semula sebagai Tapak Warisan Seni Pulau Pinang, dengan kos pembiayaan beberapa pihak berjumlah RM100 juta, dan dijangka menjana pulangan nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM500 juta kelak.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, kelahiran semula Sia Boey secara komersial diharap mampu berkembang maju seperti Southbank Centre di tebing selatan Sungai Thames, London.

Difahamkan, Royal Festival Hall, Queen Elizabeth Hall, Purcell Room, Hayward Gallery dan Saison Poetry Library antara lokasi temasya terkenal yang menghidupkan Southbank Centre, dengan kehadirian beribu-ribu pemuzik, penari dan seniman terkemuka sejak kewujudan kota budaya tersebut pada tahun 1951, dan terus menggamit jutaan pengunjung ke daerah tersebut hingga kini.

“Ada banyak negara telahpun memanfaatkan seni, antaranya, Southbank (Centre) dekat London (iaitu) suatu pusat seni dan lukisan yang akhirnya dapat memulihkan suatu kawasan yang dianggap terbengkalai.

“Kita tentu mengharapkan usaha sedemikian (seperti di Southbank Centre) mengulangi atau membolehkan pencapaian kemajuan ini berlaku,” jelas Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam pada Majlis Pelancaran “Kelahiran Semula Sia Boey” di sini baru-baru ini.

LEBIH 2,000 pengunjung menyaksikan persembahan koir bertaraf antarabangsa pada tahun 2012, kendalian artis terkenal Bryn Terfel di Southbank Centre berhampiran Sungai Thames di London.
GAMBAR mural unit yang dilihat menarik seakan memberi nafas baru pada bangunan-bangunan lama di Southbank Centre dekat London, hingga dipercayai terus menggamit pengunjung ke sana hingga kini.
Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua dan Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Dato' Rosli Jaafar turut menyertai majlis tersebut.

Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih memberitahu, Kerajaan Negeri menandatangani perjanjian dengan pihak penaja, Ilham Penang, yang dijangka menelan belanja sebanyak RM30 juta.

Difahamkan, projek pemajuan di atas tanah seluas 5.5 ekar, termasuk sebuah hotel dan sebuah muzium seni rakyat yang dibiayai secara persendirian oleh Ilham Penang.

Selain muzium seni rakyat, rumah tradisional yang dipulihara semula akan menghidupkan semula kenangan 'Sia Boey', bersama-sama pembangunan lain seperti galeri seni, sekolah studio, bengkel kerja, restoran dan kafetaria.

Keseluruhan pembangunan semula dijangka siap pada tahun 2018.

“Sempena pelancaran Sia Boey, kita akan meraikan masa lalu, masa kini dan masa depan dengan pameran dibuka kepada orang ramai di Pasar Prangin mulai 6 hingga 13 September 2015.

“Datang dan lihat bagaimana Sia Boey akan mengubah Pulau Pinang sebagai destinasi seni utama bagi pelukis dan pencinta seni, bukan sahaja (memberi manfaat kepada) penduduk tempatan, malah pelacong Malaysia hatta dari Asia Tenggara,” jelas Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Beliau turut berharap Terusan Prangin, yang menjadi wujud di sini serta dilihat sebahagian daripada identiti Sia Boey turut dapat dipulihara semula, untuk dinikmati oleh rakyat Pulau Pinang serta pelancong ke negeri ini.

Sia Boey yang membawa maksud “Penghujung Kota” adalah sebuah pasar komuniti Cina yang terkenal di tengah-tengah kota George Town.

Sebelum pertengahan kurun ke-19, kawasan sekitarnya masih belum dimajukan lagi dan Terusan Prangin yang menjadi laluan kapal pedagang masih boleh dilihat oleh komuniti setempat yang mendiami perkampungan Cina dengan rumah-rumah masih berbumbung atap.