01 September 2015

Guan Eng harap Seberang Perai antara 'liveable city' sebelum MPSP cecah usia 50 tahun

(Dari kiri) FARIZAN Darus, Chong Eng, Chow Kon Yeow, P. Ramasamy, Ketua Menteri, Maimunah Mohd. Sharif, Rozali Mohamud, Lim Hock Seng dan Phee Boon Poh pada majlis perasmian Galeri MPSP di sini baru-baru ini.
UPACARA perbarisan sempena Hari Majlis MPSP di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: DARWINA MOHD. DAUD

SEBERANG JAYA - Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berharap Seberang Perai mampu dikenali antara destinasi tempat tinggal pilihan di rantau ini sebelum Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) mencecah usia 50 tahun.

Beliau berkata demikian pada sambutan Hari Majlis MPSP Ke-41, yang dianjurkan serentak dengan Hari Terbuka Aidilfitri peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) di sini baru-baru ini.

“MPSP harus menggunakan peluang ini, menjelang ulang tahun ke-50, untuk mencapai matlamat menjadikan Seberang Perai di bawah kawal selia MPSP (sebagai) sebuah daerah atau sebuah kawasan perbandaran yang bukan sahaja indah permai, juga sebuah bandar moden yang dilengkapi ciri-ciri sebuah bandar bertaraf antarabangsa.

“MPSP harus terus gigih berusaha dalam menghidupkan Bandar Seberang Perai sebagai liveable city,” jelas Guan Eng di perkarangan Kompleks Ibupejabat MPSP dekat Bandar Perda.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tabatan Banjir, Chow Kon Yeow serta Yang di-Pertua MPSP, Dato' Maimunah Mohd. Sharif turut berucap pada majlis keraian tahunan tersebut.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. P. Ramasamy, Phee Boon Poh (Exco Kebajikan & Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar), Chong Eng, (Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat), Lim Hock Seng (Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti), Dato' Seri Farizan Darus (Setiausaha Kerajaan Negeri) dan Sr. Rozali Mohamud (Setiausaha Majlis bagi MPSP), beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta Ahli Majlis MPSP lain.

Guan Eng dalam ucapan perasmiannya turut merakamkan penghargaan kepada MPSP atas inisiatif mengadakan acara perbarisan kehormat buat julung-julung kalinya diadakan, yang disertai oleh 33 direktorat penguatkuasa serta tiga pegawai PBT.

Dalam perkembangan sama, Guan Eng turut menyempurnakan majlis perasmian pembukaan Galeri MPSP, yang sarat dengan info mengenai rekod pengiktirafan yang berjaya dicapai oleh PBT berkenaan di peringkat antarabangsa dan kebangsaan.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan syabas diucapkan sekali lagi kepada MPSP yang telah dianugerahkan Sijil The Malaysia Book Of Records (MBR) pada 13 April 2015 yang lalu atas pencapaian sebagai 'Pihak Berkuasa Tempatan' pertama di Malaysia yang mendapat lima pensijilan bagi sistem pengurusan berteraskan kualiti.

“Saya berharap dengan pensijilan MBR yang diterima oleh MPSP ini akan menjadikan organisasi ini bertambah cekap dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada penduduk Seberang Perai,” jelas Guan Eng yang juga ADUN Air Putih merangkap Ahli Parlimen Bagan.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus