Skip to main content

DAP 'rendah hati' sambut cabaran PAS tanding di kawasannya, Guan Eng respons Abdul Hadi

KETUA Menteri berkata beliau percaya bahawa tadbir urus Kerajaan Negeri secara berintegriti, dengan rekod surplas tiap-tiap tahun kini mampu memujuk majoriti rakyat untuk terus menyokong kepemimpinan DAP di negeri ini pada PRU14 kelak.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Cabaran Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk bertanding di semua kerusi DAP pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kelak disambut dengan rasa rendah diri oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan.

“Dalam sistem demoktrasi, mana-mana parti berhak untuk bertanding.

“Sekiranya PAS nak bertanding di Kawasan (yang diwakili) DAP, saya mula dengan menjemput mereka bertanding di kawasan saya di Air Putih dengan rasa rendah diri.

“(Ini) kerana, kita mahu merayu sokongan daripada majoriti rakyat berdasarkan prestasi yang dicapai oleh Kerajaan Negeri,” jelas Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih merangkap Setiausaha Agung DAP kepada wartawan di sini petang tadi.

Timbalan Pengerusi DAP Negeri merangkap Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo, Lim Hock Seng (Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti) dan Wong Hon Wai (Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri) turut sertai sidang media tersebut.

Guan Eng berkata, beliau yakin bahawa rakyat di negeri ini akan kekal menyokong wakil rakyat DAP berdasarkan kemampuan Kerajaan Negeri hari ini melaksanakan tadbir urus telus.

Lagipun katanya, Kerajaan Negeri hari ini sejak tahun 2008 hingga 2014 berjaya merekodkan lebihan kewangan tiap-tiap tahun, tidak seperti negeri tertentu yang dikuasai oleh PAS.

Surplas di bawah pentadbiran Guan Eng dalam tempoh 2008 hingga 2013 direkodkan berjumlah RM453 juta, berbanding RM370 juta lebihan kewangan yang direkodkan dalam tempoh enam tahun sebelumnya di bawah Kerajaan Negeri era Barisan Nasional dulu.

Manakala, pelaburan ke Pulau Pinang dalam tempoh tujuh tahun sehingga 2014 pun masih menunjukkan peningkatan sebanyak 93 peratus menjadi RM48,211 juta, berbanding angka RM24,932 juta yang direkodkan dalam tempoh sama sebelum tahun 2008.

“Pulau Pinang bukan 'negeri bankrap' macam negeri-negeri tertentu, ini saya rasa adalah sesuatu yang akan dinilai oleh rakyat.

“Sama ada mereka (PAS) benar-benar nak berlawan (tanding di kawasan DAP) ataupun kacau daun, untuk memberikan kelebihan kepada Barisan Nasional, saya rasa rakyat akan dapat menilai.

“Kita (DAP) tidak akan ambil mudah dengan cabaran PAS ini, menang tidak ada jaminan menang, maka, kita (DAP) akan berusaha untuk memenangi setiap undi,” ujar Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Dalam perkembangan berikatan, Guan Eng turut mengulas mengenai kenyataan Menteri Besar Selangor merangkap Timbalan Presiden PKR, Mohamad Azmin Ali yang menjemput PAS turut menyertai usaha parti itu bersama-sama DAP dan Parti Amanah Negara (kini masih dikenali sebagai Pertubuhan Pekerja-Pekerja Malaysia) dalam menubuhkan pakatan pembangkang baru ala-ala “Pakatan Rakyat” tidak lama lagi.

“PAS akan menentang DAP...maka penyertaannya (dalam Pakatan Rakyat) sudah pasti tidak bersesuaian.

“Jika ia menentang Umno seperti DAP, maka ia tidak akan mengumumkan untuk bertanding menentang DAP.

“Dia sudah mengubah posisinya dengan tidak lagi menjadikan Umno Barisan Nasional sebagai musuh politiknya, DAP sekarang telah menjadi musuh politiknya.

“Skandal dan 'sumbangan' RM2.6 bilion (ke akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak) pun bukan lagi menjadi isu utamanya, tetapi kami (DAP) masih menjadi isu utamanya (PAS).

“Kita buat pendirian sangat jelas di Selangor, saya fikir isu (jemputan PAS sertai Pakatan Rakyat 2.0) itu harus ditanya kembali kepada Azmin, terutamanya apabila PAS telahpun membuat pengumuman mereka (untuk menentang DAP pada PRU14 nanti),” jelas Guan Eng lagi.

Pilihan Raya Umum Ke-13 pada 5 Mei 2013 lalu menyaksikan DAP menang di kesemua tujuh kawasan Parlimen dan 19 Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) yang ditandinginya di negeri ini.

Manakala, PAS mengekalkan kemenangan di DUN Permatang Pasir, sungguhpun bertanding di dua parlimen dan enam KADUN.