Skip to main content

ATM, Polis antara 85 kontinjen perbarisan Hari Kebangsaan 2015 P. Pinang

ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) siap sedia sementara menunggu semakan perbarisan oleh Tun Abdul Rahman Abbas diiringi oleh Lim Guan Eng dan Law Choo Kiang pada Hari Kemerdekaan 2015 Peringkat Negeri Pulau Pinang di sini, 31 Ogos lalu. | Foto: Ahmad Adil Mohamad & Darwina Mohd. Daud

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG JAYA - 180 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan sepasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) antara 85 kontinjen yang menyertai acara perbarisan sambutan Hari Kemerdekaan Ke-58 Peringkat Negeri Pulau Pinang bertemakan “Sehati Sejiwa” pada pagi 31 Ogos lepas.

Yang di-Pertua Negeri, Tuan Yang Terutama (T.Y.T) Tun Datuk Seri Utama Dr. Abdul Rahman Abbas dan isteri, Toh Puan Seri Hajjah Majomor Shariff, diiringi Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dan isteri, Betty Chew Gek Cheng serta Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Dato' Law Choo Kiang dan isteri, Datin Teoh Hooi Tuang turut menyaksikan acara perbarisan yang buat julung-julung kalinya diadakan di jalan utama berhadapan Kompleks Ibupejabat Majlis Perbadaran Seberang Perai (MPSP) di sini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato' Mohd. Rashid Hasnon dan isteri, Datin Nor Azizah Haron, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. P. Ramasamy dan isteri K. Kalaiarasi, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Seri Farizan Darus dan isteri, Datin Hamidah Mat Daud, serta barisan Exco Kerajaan Negeri, para ADUN dan Ahli Parlimen.

Choo Kiang yang juga Pengerusi Majlis-Majlis Rasmi Kerajaan Negeri dalam kenyataan bertulisnya berkata, pihaknya berharap sambutan kali ini dapat menyemarak lagi semangat cintakan tanah air, terutamanya di kalangan pelajar-pelajar sekolah yang suatu hari nanti akan menjadi pemimpin generasi akan datang.

“Penglibatan kesemua kaum dalam acara sambutan ini menjadi perpaduan bangsa, terus kekal kukuh dan bersepadu,” jelas Choo Kiang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun.

Menurut berliau, sambutan Hari Kebangsaan 2015 melibatkan 5,106 peserta, dengan 4,235 orang menyertai acara perbarisan.

Daripada jumlah itu, katanya, 2,090 peserta daripada orang awam, 90 peserta dalam lapan pancaragam, 540 peserta daripada kontinjen ko-kurikulum sekolah.

Itu, katanya, termasuk 1,259 penyertaan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agensi swasta serta Universiti Awam, selain 156 lain yang menyertai 11 kontinjen perarakan kenderaan.

Terdahulu, tema “Sehati Sejiwa” yang ditetapkan oleh Kerajaan Pusat akhirnya terpaksa digunapakai di negeri ini, gara-gara ketidakmatangan dua Menteri mempertikai tema kemerdekaan yang diputuskan oleh Kerajaan Negeri baru-baru ini.

Ketetapan itu dibuat selepas larangan pihak sekolah serta ATM menyertai acara perbarisan Hari Kebangsaan 2015 dikeluarkan di negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, Menteri Pendidikan, Dato' Seri Mahdzir Khalid dan Menteri Pertahanan, Dato Seri Hishammuddin Tun Hessein sepatutnya tidak mempolitikkan tema “Bersih, Cekap, Amanah” yang dipilih melalui Mesyuarat Kerajaan Negeri.