23 September 2015

300 vaksin anti Rabies dibekalkan di Pulau Pinang 5.00 petang ini

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - 300 vaksin anti Rabies akan dibekalkan kepada para pemilik anjing di Pejabat Veterinar dekat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bukit Tengah selepas jam 5.00 petang ini dan esok, mulai jam 9.00 pagi hingga 10 malam.

Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng dalam kenyataannya melahirkan kebimbangan apabila ada kes anjing bertuan di Kedah dijangkiti penyakit anjing gila.

“Tuannya pun telah digigit, nasib baik tiada apa-apa pada pemilik anjing terbabit.

“Itu tujuan utama Kerajaan Negeri untuk memastikan manusia boleh dilindungi dan diselamatkan, pada masa yang sama, anjing-anjing bertuan pun boleh dilindungi dan diselamatkan (melalui suntikan vaksin ini,” jelas Guan Eng sambil merayu semua pihak memahami langkah perwartaan berwajib oleh Kerajaan Negeri.

Tegasnya, Perintah Kawasan Jangkitan Penyakit Anjing Gila (Negeri Pulau Pinang) 2015 diwartakan di bawah subseksyen 42(4) Akta Binatang 1953 [Akta 647] pada 17 September lalu demi mengutamakan keselamatan manusia, sungguhpun dipertikai oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Save Our Starys Penang (SOS) dan badan antarabangsa Mission Rabbies.

“Kita (Kerajaan Negeri) tidak boleh menunggu sehingga hujung tahun ini untuk NGO-NGO ini datang membawa vaksin (anti Rabies) tanpa melakukan apa-apa.

“Sungguhpun kita (Kerajaan Negeri) telah berjumpa dengan NGO tempatan SOS, mereka (SOS) pula mengeluarkan kenyataan bahawa kita tiada respons langsung.

“Itu kita tidak puas hati apabila mereka membuat pembohongan,” jelas Guan Eng.

Bercakap pada sidang media yang sama, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin turut menjelaskan bahawa NGO berkenaan turut diminta memberikan maklum balas dalam satu pertemuan rasmi, sebelum Kerajaan Negeri mengumumkan pengwartawan berwajib.

Manakala, Pengarah Perkhidmatan Veterinar Negeri, Dr. Siti Salmiah Tahir menjelaskan sebanyak 484 anjing liar telahpun ditangkap sejak 20 September lalu, dan sebanyak 297 suntikan vaksin anti Rabies telahpun dilakukan sehingga kini.

Direkodkan, sebanyak 41 kes gigitan, termasuk 10 kes membabitkan anjing bertuan yang kini turut dalam perhatian selama 14 hari.

“Setakat ini, yang dikuarantin masih dalam keadaan normal,” respons Dr. Siti Salmiah.

Rabies adalah penyakit zoonotik atau virus yang merebak daripada haiwan kepada manusia, melalui gigitan atau pemindahan mukus (saliva) serta boleh mengakibatkan kematian.


Demam dan sakit otot merupakan petanda awam, sebelum berakhir dengan serangan sistem saraf yang mengakibatkan keresahan, insomnia, gangguan mental seterusnya bertindak agresif lalu kematian.

Kes Rabies mula dikesan di Negeri Perlis pada 17 Ogos lalu selepas disahkan oleh Veterinary Research Institute (VRI), disusuli kes serupa di Pulau Pinang pada 14 September lalu.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus