Skip to main content

P.Pinang meterai perjanjian usaha sama Temasik, EDIS

KETUA Menteri (tengah) menyaksikan wakil PDC dan Temasik saling menukar dokumen perjanjian usaha sama Projek Perdana BPO di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) baru memeterai satu perjanjian dengan dua pihak dari Singapura bagi pembangunan projek perdana Penyumberan Luaran Proses Perniagaan (BPO) di negeri ini, dengan RM1.3 bilion nilai pembangunan kasar (DGV).

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng memberitahu, usaha sama PDC dengan Temasek serta Economic Development Innovations Singapore Pte. Ltd. (EDIS) itu membolehkan sebuah kompleks pejabat BPO perdana dibina di atas sebidang tanah milik PDC berkeluasan 6.8 ekar di Bayan Baru.

Usaha sama ini membolehkan PDC memegang 51 peratus syer, dan selebihnya dipegang oleh para pelabur lain.

“Kerjasama ini membuktikan keyakinan dan kepercayaan komuniti pelabur antarabangsa dari Singapura terhadap masa depan Pulau Pinang.

“Saya berhadarap PDC dan Temasik senantiasa sukses dalam kerjasama ini,” jelas Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam di sini baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato' Mohd. Rashid Hasnon turut bersama-sama Guan Eng menyaksikan majlis tandatangan perjanjian di antara Pengurus Besar PDC, Dato' Rosli Jaafar dan David Heng (wakil Temasik).

Hadir sama, Penasihat Khas kepada Ketua Menteri, Lee Kah Choon dan Loo Lee Lian (Pengurus Besar investPenang).

Guan Eng memberitahu, projek perdana BPO itu turut akan mewakili hab perniagaan utama Multimedia Super-Corridor (MSC) Malaysia di Bandar Siber 1 Pulau Pinang yang meliputi tanah kira-kirta 1.6 juta kaki persegi.

Rancangan pemajuan projek tersebut dilaksanakan dalam tempoh tahun 2016 hingga 2019.

Tambah Guan Eng, projek jangka panjang itu turut akan menampung kekosong ruang pejabat Gred A untuk Pelancaran Perkhidmatan Penyumberan Luar (SSO) dan PBO.

“Sektor SSO telah mencapai pertumbuhan pesat selama ini dan Malaysia turut disenaraikan sebagai destinasi SSO ketiga di dunia oleh global firma perunding pengurusan AT Kearney sejak 2004 selepas India dan China," katanya.

Seperti di Pulau Pinang, pelaburan kumulatif bagi syarikat SSO berstatus MSC antara tahun 2009 dan 2014 direkodkan mencapai RM4.073 bilion.

Sektor SSO di sini juga menyediakan lebih 8,000 peluang pekerjaan berpendapatan tinggi kepada penduduk tempatan dan berkhidmat kedua-dua pasaran serantau dan global.

Temasek adalah sebuah syarikat pelaburan yang berpangkalan di Singapura dengan portfolio pelaburan S$266 bilion (RM628.6 bilion) pada 31 Mac lalu, dan EDIS juga beribu pejabat di Singapura dengan rangkaian operasi pelaburannya di Jerman dan Amerika Syarikat.