Skip to main content

P.Pinang kekalkan perkataan 'Bersih', jangan politikkan tema Hari Merdeka, kata Ramasamy

P. Ramasamy (kiri) menunjukkan gambar surat pekeliling JPN melarang guru-guru dan murid - murid menyertai Perarakan Hari Kemerdekaan Peringkat Negeri, pada sidang media bersama-sama Wong Hon Wai di sini pada tengah hari tadi.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - "Bersih,  Cekap dan Amanah" yang menjadi tema Hari Kemerdekaan Peringkat Negeri sepatutnya tidak dipolitikkan oleh mana-mana pihak,  hingga Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) mengeluarkan surat pekeliling melarang guru dan murid daripada menyertai acara perarakan tahunan di negeri ini pada 31 Ogos nanti.

Timbalan Ketua Menteri II,  Prof.  P. Ramasamy berkata, tema itu dipilih secara rasmi melalui Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri,  serta tiada kena-mengenai dengan himpunan aman BERSIH 4.0 atau Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih yang dirancang di ibu negara mulai 29 Ogos nanti.

"'Bersih,  Cekap dan Amanah' ini pernah menjadi tema pentadbiran Tun Dr.  Mahathir Mohamad masa menjadi perdana menteri dulu, mengapa Kementerian (Pendidikan) begitu sensitif sekarang ini.

"Janganlah politikkan perkataan 'bersih', kerana perarakan di padang (Dataran Pemuda,) Butterworth pada 31 Ogos ini adalah Hari Kebangsaan untuk semua rakyat tanpa mengira perbezaan politik," jelas Ramasamy kepada wartawan di sini,  tengah hari tadi.

Wong Hon Wai,  selaku Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng turut serta dalam sidang media itu.

Justeru,  Ramasamy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai menasihatkan Pengarah Pendidikan Negeri,  Dato' Osman Hussain menarik balik surat pekeliling larang tersebut, yang dikeluarkan pada 20 Ogos lalu atas semangat patriotik, sebagai penjawat awam.

Hon Wai pula berkata, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Seri Farizan Darus pagi ini ada berbincang isu 'salah faham' ini dengan Pengarah Pendidikan Negeri, Dato' Osman Hussain.

Pun begitu, kata Hon Wai, keputusan pertemuan tersebut masih belum diketahui lagi.

Guan Eng dalam kenyataan berasingan pula berkata, Farizan diarahkan menjelaskan mengenai tema rasmi Hari Kebangsaan yang dputuskan oleh Kerajaan Negeri.

"Jika mereka terus melarang, kita (Kerajaan Negeri) akan teruskan juga.

"Biarkan mereka isytiharkan tema 'Bersih, Cekap, Amanah' adalah haram," ujar Guan Eng.

Terdahulu, tema "Bersih, Cekap dan Amanah" diumumkan oleh Guan Eng sendiri.

Katanya, perkataan 'Bersih' yang dipilih pada tema Hari Kebangsaan kali ini diharap tidak akan sekotor perkataan 'sumbangan ',  susulan isu sumbangan RM2.6 bilion ke akaun peribadi Perdana Menteri,  Datuk Seri Najib Razak kian menjadi perhatian dunia belakangan ini.

Tema "Bersih,  Cekap dan Amanah" akan digunakan dalam program-program rasmi Kerajaan Negeri sempena bulan kemerdekaan ke-58, sejak 16 Ogos lalu hingga keraian Hari Malaysia pada 16 September depan.